Pembukaan semula sempadan laluan darat
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan panggilan telefon bersama TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura pada 24 Mac 2022.
Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik
COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan TYT Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).
Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID- 19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara
yang telah lengkap vaksinasi.
Oleh yang demikian, bermula 1 April 2022, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan
semasa ketibaan.
Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April 2022, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara
perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.
“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai
aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Singapura, TYT Lee Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.
“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19. Ia mencerminkan kerjasama
kukuh yang dinikmati kededua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kededua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata TYT Lee Hsien Loong. – UTV Media Msia