Pementasan Teater ‘Sengkela Perak’: Satu Wadah Seni Menyatukan Bangsa Melalui Bahasa

  • December 12, 2023
  • 2 min read
Pementasan Teater ‘Sengkela Perak’: Satu Wadah Seni Menyatukan Bangsa Melalui Bahasa

KUALA LUMPUR – Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Perkhidmatan Awam melabuhkan tirai dengan kejayaan pementasan teater bertajuk ‘Sengkela Perak’ yang dibintangi oleh penjawat awam daripada 38 agensi Kerajaan sebagai pelakon dan tenaga kerja produksi.

Teater anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini berlangsung selama tiga hari di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 Disember melibatkan kerjasama strategik daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Istana Budaya, Antara Seni Perkhidmatan Awam (ASPA), Universiti Multimedia (MMU), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan Kelab JPA.

Berteraskan penyatuan bangsa melalui bahasa, pementasan teater ini bertujuan untuk mengangkat sejarah dan budaya tanah air serta memperkukuhkan pembinaan jati diri anak bangsa.

Dalam pada itu, ia juga merupakan inisiatif kebahasaan berimpak tinggi Jabatan Perkhidmatan Awam bertepatan dengan peranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Peringkat Perkhidmatan Awam.

Sengkela Perak berkisar tentang kisah lagenda penuh epik kebijaksanaan Kerajaan Perak yang telah membentuk pakatan terbesar dalam sejarah tanah air bersama dengan Kerajaan Kedah, Selangor, Johor, Patani, dan Singgora. Kerjasama ini terjalin demi menggagalkan rancangan Siam untuk menakluki Tanah Melayu yang menggunakan kekuatan ketenteraan Kerajaan Ligor untuk menggugat pertahanan Perak sebelum memusnahkan Johor dan Selangor.

Untuk rekod, teater Perkhidmatan Awam mula dipentaskan sejak tahun 2015 lagi. Kesungguhan dan bakat besar para pelakon teater dan tenaga kerja produksi dapat dilihat dengan jelas semasa persembahan epik ini berlangsung.

Tambahan pula, gabungan klasik pelbagai dialek bahasa yang cantik tersusun dan lenggok tarian penuh tertib yang dipersembahkan menyerlahkan lagi keindahan seni teater garapan karya Dr. Ahmad Zairy bin Mohd Soieb yang penuh dengan elemen tradisi dan penyatuan bangsa.

Bahasa jiwa bangsa. Secara keseluruhannya, teater wajib tonton ini berjaya mempersembahkan satu wadah seni yang mengukuhkan lagi jati diri dalam halusnya budi dan bahasa.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam pementasan teater Sengkela Perak. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *