PUTRAJAYA, 17 Mac 2026 – Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi tahun 2027 kini dibuka bermula 15 Mac hingga 31 Ogos 2026, dan boleh dilakukan secara dalam talian.
Tabika Perpaduan terus menjadi pilihan utama ibu bapa dengan menawarkan pendidikan prasekolah berkualiti melalui kurikulum berstruktur, bagi membantu kanak-kanak membuat persediaan ke alam persekolahan Darjah Satu. Bermula tahun ini, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 turut diperkenalkan, yang memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh kanak-kanak meliputi aspek kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang. Statistik ini mencerminkan peranan penting institusi tersebut dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Dari segi kelayakan, permohonan dibuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki Sijil Kelahiran dan MyKad, berumur antara empat hingga enam tahun. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang menetap atau bekerja dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, Tabika Perpaduan akan terus diperkukuh melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021–2030 yang menjadi inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak.
“Pelan ini bukan sahaja menumpukan pembangunan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” katanya.
Tambah beliau, pelan tersebut merangkumi pemantapan kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus yang lebih cekap, serta jalinan kerjasama erat dengan komuniti. Selain itu, sistem pemantauan dan penilaian turut diperkasakan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program.
Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga untuk merebut peluang mendaftarkan anak-anak ke Tabika Perpaduan bagi mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti dalam persekitaran yang menitikberatkan perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk.



