Penganjur Walker World Tour tampil mohon maaf, tanggapan terhadap Putri Ariani hanyalah salah faham

  • June 3, 2024
  • 4 min read
Penganjur Walker World Tour tampil mohon maaf, tanggapan terhadap Putri Ariani hanyalah salah faham

KUALA LUMPUR: Satu permohonan maaf telah dibuat oleh Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad dan juga penganjur bagi Konsert Walker World Tour 2024 yang bakal berlangsung pada 22 Jun nanti di Sunway Lagoon sekaligus mahu meleraikan tanggapan negatif terhadap penyanyi antarabangsa, Putri Ariani.

Ridzuan berkata, kekeliruan dan salah faham telah tercetus dan permohonan maaf ini dibuat berhubung insiden yang telah tular di media sosial sejak beberapa hari lepas melibatkan artis istimewa dari seberang iaitu Puteri Ariani yang turut akan berkongsi pentas melakukan persembahan di konsert 22 Jun kelak bersama Alan Walker.

Permohonan maaf ini juga dibuat demi membersihkan nama Puteri Ariani yang terkesan ekoran insiden semasa SIdang Media Walker World Tour 2024 baru-baru ini.

“Untuk pengetahuan rakan media, pada majlis sidang media baru- baru ini, Megatix telah melantik pihak ketiga untuk menguruskan acara tersebut dan kejadian berlaku adalah di luar kawalan serta pengetahuan pihak kami.

“Untuk makluman rakan media, semasa insiden saya tiada di situasi tersebut kerana keluar seketika bagi meraikan kehadiran tetamu serta tidak sedar akan salah faham yang berlaku antara pihak media dengan Puteri Ariani,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara tersebut hanya disedari setelah melihat laporan media yang mendakwa Puteri Ariani telah mengabaikan dan tidak mengendahkan kehadiran rakan media selama hampir dua jam.

“Di sini saya ingin jelaskan punca kekeliruan serta kepincangan komunikasi yang berlaku semasa sidang media tersebut.

“Pihak kami juga telah mengenal pasti pihak dan punca insiden tidak diingini itu namun tidak mahu terus memanjangkan isu dan mengeruhkan keadaan dan kami bersepakat untuk memperbaikinya secara dalaman”, ujarnya.
 
Tambahnya, insiden itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada Putri Ariani dan adalah tidak adil untuk menyalahkan beliau kerana kesilapan komunikasi penganjur yang dilantik oleh kami pada sidang media itu.

Ekoran insiden tersebut, Puteri Ariani menerima kecaman hebat daripada netizen di pelbagai platform media sosial.

“Seperti rakan media sedia maklum Puteri Ariani seorang insan istimewa disayangi ramai peminat muzik di berdiri atas bakat suara luar biasanya, dan dari segi personaliti beliau sorang yang positif, periang dan baik hati.

“Megatix khuatir kecaman daripada netizen ini bakal memberi kesan terhadap emosi Puteri Ariani seterusnya menjejaskan persembahan beliau,” jelas Ridzuan.

Buat pengetahuan semua, Puteri Ariani mencetus fenomena sebelum ini di pentas antarabangsa apabila menerima Gold Buzzer daripada Simon Cowell, beliau juga antara duta kecil Indonesia dalam arena muzik sama ada di peringkat serantau atau pun antarabangsa.

Justeru, pihak Megatix ingin membuat permohonan maaf supaya insiden ini tidak akan berlarutan dan mencetuskan perbalahan yang berpanjangan.

“Menyedari insiden tidak disengajakan ini mengguris hati rakan media, Megatix dan saya Ridzuan Mohammad, selaku Pengarah Megatix Sdn Bhd dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada semua rakan media.

“Kami sangat menyesali insiden salah faham yang berlaku dalam sidang media sebelum ini dan sedar ia adalah atas khilaf kami.

“Megatix sekali lagi memohon seribu kemaafan diatas ketidaksempurnaan serta profesionalisma yang terjadi semasa sidang media baru- baru ini.
 
“Megatix berharap rakan media akan terus memberikan sokongan kepada Megatix dan sedia menerima penjelasan maaf kami.
 
“Megatix juga telah menyatakan permohonan maaf kami secara terbuka di laman media sosial rasmi kami di Instagram juga Facebook terhadap pihak terkesan.

“Megatix sedar ini turut memberi tempias dan kesan kepada peminat muzik serantau dan kami dengan rendah hati memohon kemaafan dan berharap isu ini tidak lagi didebatkan.

“Megatix juga mengambil iktibar dan teladan dalam pengurusan acara pada masa hadapan dan bersedia menerima teguran mahu pun nasihat rakan media.

“Pihak Megatix benar-benar memohon maaf dan mengharapkan sesi santai ini dapat membuka lembaran baru antara semua pihak terlibat.

“Kami harap rakan media serta peminat muzik akan terus memberi sokongan terhadap Megatix dalam menjayakan konsert Walker World Tour 2024 nanti,” katanya mengakhiri sidang media dihadapan rakan-rakan media yang hadir.

Selain itu, sebahagian daripada jualan tiket akan disalurkan kepada NGO Family of Charity yang juga merupakan rakan strategik kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *