PERKESO anjur pertandingan Masterchef RTW

  • June 29, 2022
  • 2 min read
PERKESO anjur pertandingan Masterchef RTW

BATU CAVES, SELANGOR – Buat julung kalinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Pertandingan MasterChef Return To Work bagi memupuk bakat memasak dan melahirkan lebih ramai usahawan daripada kalangan peserta Program Return to Work (RTW) atau ‘RTWPreneur’ dalam bidang seni kulinari.


Program dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang ini telah berlangsung selama dua hari dari 28 hingga 29 Jun 2022. Pada hari pertama, para peserta telah dibawa mempelajari teori masakan, sebelum menjalani kursus amali.

Hari kedua pula menyaksikan seramai 10 orang peserta RTW menonjolkan kemahiran memasak masing-masing, sebelum hanya 5 peserta terbaik dipilih untuk mara ke peringkat akhir. Pertandingan memasak telah diadili oleh tiga orang juri iaitu blogger masakan
terkenal, Nurhayati Zainol Abidin atau Yatie Kitchen, Ketua Chef Kolej Komuniti Selayang,
Mohammad Kamil bin Zulkeflie, dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO iaitu John
Riba Marin.


RTWPrenuer yang menyertai pertandingan memasak ini merupakan para pencarum PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kemalangan pekerjaan atau penyakit serta telah dipulihkan menerusi rawatan rehabilitasi di bawah Program RTW.

Penganjuran pertandingan ini merupakan inisiatif PERKESO untuk membantu mereka agar dapat kembali berdikari dan bekerja selepas menerima rawatan pemulihan fizikal dan vokasional.


Sejak ditubuhkan pada tahun 2007 sehingga Mei 2022, Program RTW telah membantu seramai 45,230 pencarumnya untuk kembali bekerja.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5 peratus atau lebih 2,200 peserta telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Selain membantu peserta Program RTW untuk kembali bekerja, PERKESO juga giat melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan kepada para peserta yang berminat seperti latihan
kemahiran bagi peningkatan skil atau mempelajari skil baharu.

Selain itu, mereka turut dibantu dalam aspek pengkomersilan dan pemasaran produk menerusi pelbagai saluran termasuk dalam
rancangan RTW SHOP yang disiarkan di platform media sosial.

Usaha ini memberi impak yang positif,
sekaligus membantu peserta Program RTW menjana pendapatan sebagai seorang usahawan.


Projek jualan biskut raya oleh tiga orang peserta Program RTW yang disiarkan menerusi platform RTW SHOP pada bulan April lalu juga telah berjaya membantu RTWPreneur ini menjana pendapatan dengan keuntungan kasar sebanyak RM10,000 apabila hampir 1,000 balang biskut raya berjaya
dijual.


PERKESO merancang untuk memperkukuh lagi program latihan vokasional dan keusahawanan
seumpama ini pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih ramai peserta Program RTW di seluruh negara dapat kembali bekerja demi kesejahteraan mereka dan tanggungjawab.


Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *