Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM): Kadar bina, baikpulih dinaikkan
KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan cadangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) untuk menaikkan kadar bantuan seunit bagi pembinaan Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM).
Lebih 10,000 kontraktor G1 yang terlibat dalam projek rumah PRKM di seluruh negara menerima manfaat daripada program ini. Terdahulu, PKRM juga dikenali dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenaikan itu akan membantu kontraktor PRKM bagi menangani isu kenaikan kos bahan binaan, yang sebelum ini menyebabkan kegagalan pelaksanaan projek atas faktor tiada margin keuntungan.
“Kenaikan ini juga bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung oleh pihak kontraktor yang merupakan isu meruncing, terutamanya sejak Mei 2022 yang lalu berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kita berharap kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu.” ujar beliau pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA di ibu negara hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.
Menurutnya lagi, harga baharu bagi projek Bina Baharu PRKM di Semenanjung dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM66,000 seunit dan RM68,000 kepada RM79,000 seunit di Wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan.
Selain itu, nilai kadar maksimum RM15,000 dinaikkan di Semenanjung dan kadar maksimum RM17,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi program Baik Pulih rumah PRKM berbanding kadar sebelum ini iaitu RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sebanyak 2,153 permohonan Bina Baharu rumah PRKM dan 11,892 buah rumah untuk Baik Pulih telah mendapat kelulusan daripada KPLB.
“Keputusan ini diambil sebagai langkah proaktif Kerajaan bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat.” jelas Mahdzir.
Beliau berkata, kira-kira 13,000 unit rumah PRKM dapat dilaksanakan di seluruh negara hasil kenaikan nilai bantuan berkenaan sekaligus akan memberi manfaat kepada lebih 70,000 isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah tersebut.
Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan replika kunci rumah PPRKM yang siap dibina kepada 10 penerima, selain Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet PadiMusim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA. -UTVMediaMsia