PLATFORM PROMOSI PRODUK USAHAWAN DAN KOPERASI ORANG ASAL

  • August 27, 2023
  • 2 min read
PLATFORM PROMOSI PRODUK USAHAWAN DAN KOPERASI ORANG ASAL

Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya menyalurkan informasi kepada koperasi orang asal menerusi kaedah turun padang berupaya memberi peluang dari sudut latihan, perniagaan dan penyampaian maklumat mengenai bantuan serta sokongan kepada komuniti berkenaan.

Menterinya, YB Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif tersebut adalah bertepatan dengan aspirasi Teras Satu (1) Malaysia MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah melonjakkan pendapatan negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Orang Asal dan Karnival Usahawan & Koperasi Orang Asal Perak 2023 yang berlangsung di Kampung Orang Asli Pisang Rasau, Slim River, Perak pada 19 Ogos 2023 (Sabtu).

Datuk Ewon berkata, program tersebut adalah platform terbaik sebagai wadah mempromosikan produk keluaran usahawan dan koperasi orang asal di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai khususnya orang asal berkaitan koperasi.

Program yang dihadiri lebih 500 pengunjung terdiri daripada penduduk orang asal sekitar Slim River, Perak tersebut merupakan kolaborasi antara Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Persatuan Orang Asli Perak (POAP).

Komuniti setempat berpeluang menyertai pelbagai program seperti sukan rakyat, jualan produk makanan dan kraftangan, sesi bicara koperasi daripada IKMa dan pameran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat,TEKUN Nasional dan ANGKASA.

Dalam majlis tersebut, Datuk Ewon turut menyampaikan sejumlah RM292,000 pembiayaan TEKUN Nasional kepada 14 orang usahawan serta RM30,000 sumbangan daripada IKMa kepada Persatuan Orang Asli Perak.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Eksekutif SKM, Tuan Rusli Jaafar, Pengerusi POAP, Datuk TPr. Suki Mee, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Haji Yahya Mat Sahri dan Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Basari Sarkun, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Adam Abd.Ghani, Pengarah SKM Negeri Perak, Encik Meor Mohamed Sharifuddin Meor Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan IKMa, Puan Hamidah Mohd Jos dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, YB Puan Salina Samsudin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *