Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya meringan kos sara hidup di semua kawasan

  • May 25, 2022
  • 2 min read
Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya meringan kos sara hidup di semua kawasan

PARLIMENPUTRAJAYA, 25 Mei 2022 – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang secara rasminya telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Disember 2021 lalu, kini telah berjaya diperluaskan dan dilaksanakan disemua kawasan parlimen di seluruh Malaysia.

Sehingga 20 Mei 2022, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku penyelia program ini telah melaksanakan PJKM disemua 222 kawasan parlimen seluruh negara termasuk kawasan parlimen pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata 7 lokasi setiap kawasan parlimen.

Seramai 2.796 juta pengunjung telah dicatatkan menghadiri PJKM dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta. Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah hanya sehingga 31 Mac 2022 sahaja. Walau bagaimanapun, atas permintaan ramai, YAB Perdana Menteri telah bersetuju supaya pelaksanaan PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022.PJKM yang merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu meringan beban kos sara hidup rakyat telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Ini diakui sendiri oleh rakyat Malaysia yang mengunjungi PJKM berdasarkan temubual di lokasi-lokasi program. Sepanjang pelaksanaan PJKM, pelbagai barangan keperluan harian dijual dengan harga istimewa sehingga 20% lebih murah berbanding harga pasaran setempat. Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung adalah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung dan sayursayuran. PJKM dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi-agensi kerajaan lain seperti FAMA, LKIM, NAFAS, NEKMAT dan Lembaga Pertubuhan Peladang. Ia turut disokong oleh rakanrakan strategik daripada pemain industri peruncitan yang terdiri daripada pasaraya-pasaraya besar, pasaraya, pembekal dan pemborong. Secara keseluruhannya, seramai 240 rakan strategik telah terlibat dalam menjayakan PJKM.

KPDNHEP ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan olehkerajaan. Kerajaan turut menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar ini yang turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global dan negara. Seramai 2,200 Pegawai Penguatkuasa dan 1,000 Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP di seluruh negara akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap barangan keperluan harian dalam pasaran.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan dan aduan secara terus ke KPDNHEP melalui talian WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000, aplikasi ez-Adu atau email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.Dato Sri Alexander Nanta LinggiMenteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Putrajaya, 25 Mei 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *