Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani
![Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani](https://utvmediamalaysia.com/wp-content/uploads/2024/10/IMG_20241006_134127-770x470.jpg)
Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa komited dan mengambil berat nasib golongan orang yang kurang berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan modal insan khususnya warga pelajar Wilayah Persekutuan; yang merupakan cerminan kepada imej rakyat Malaysia di mata dunia.
YWP juga sedar terdapat sebilangan masyarakat yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan buat anak-anak mereka memulakan pembelajaran disekolah.
Ini ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup sesebuah keluarga di bandar seperti Kuala Lumpur.
Oleh itu, YWP mengadakan “Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani” di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat, Selangor selama tiga (3) hari dua (2) malam pada 4 hingga 6 Oktober 2024.
Program ini bertujuan membentuk karakter positif di kalangan pelajar melalui pembelajaran interaktif, diskusi, dan kegiatan luar ruangan.
Di era globalisasi, penting bagi generasi muda untuk memiliki nilai-nilai moral yang baik seperti akhlak yang baik, adab yang mulia serta disiplin dalam kehidupan.
![](https://utvmediamalaysia.com/wp-content/uploads/2024/10/1000216467-1024x768.jpg)
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, YBhg. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed merasmikan Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2024.
Turut hadir sama dalam majlis penutup adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar DBKL, YBrs. Ahmad Tarmizi bin Baharom, pengurusan YWP.
Program ini melibatkan 80 orang pelajar tingkatan empat dari 9 buah Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) iaitu PA Sri Tioman, PPR A Panas, PPr Sg. Bonus, PPR Hiliran Ampang, PA Sri Sarawak, PPR Kg. Limau, PPR Pantai Ria, PPR Kerinchi, PPR Desa Tun Razak yang terdiri daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Perbelanjaan keseluruhan bagi menguruskan program ini adalah sebanyak RM33,000.00, yang meliputi kos logistic sewa lokasi, pembayaran fasilitator, serta penyediaan bahan maklumat dan promosi.
Perbelanjaan ini menggunakan dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Impak program “Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani” ini adalah:
Mendorong pelajar untuk memahami pentingnya nilai-nilai karakter murni dalam kehidupan sehari-hari.
Meningkatkan keterampilan komunikasi, kerjasama, disiplin dan nilai-nilai kepimpinan.
Mengajak pelajar untuk berinteraksi dengan berkesan melalui nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Selain itu, YWP juga merancang untuk melaksanakan lebih banyak program motivasi pada masa hadapan, yang disasarkan kepada para pelajar dari kawasan perumahan PPR yang lain di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program ini juga diharapkan dapat melahirkan pelajar yang tidak hanya cemerlang akademik, tetapi juga memiliki karakter yang kukuh dan mampu memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
Melalui kegiatan ini, diharapkan terbentuk generasi muda yang siap menghadapi cabaran dan perubahan di masa depan.
YWP mengalu-alukan sumbangan dari individu atau syarikat korporat yang prihatin agar dapat bersama-sama menoktahkan kemiskinan bandar dan meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.
Sumbangan orangramai dialu-alukan ke Tabung Kebajikan & Pelajaran YWP di CIMB Bank, No akaun: 8001103675 atas nama “YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN” serta catatkan kod “SUMBANGAN TABUNG YWP”