Program kesihatan mental di Selamat Pagi Malaysia, saluran sokongan untuk rakyat – KKMM
PUTRAJAYA, 15 JULAI 2021 – Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai rakyat Malaysia tanpa mengira golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental dan tertekan akibat impak pandemik COVID-19 yang tidak berkesudahan. Ada yang berhadapan dengan masalah kebimbangan akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); kemurungan dan pengasingan sosial dan tidak kurang juga, masalah pengangguran, tekanan psikologi, keganasan rumah tangga dan kekangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lembaga Kaunselor Malaysia dan pihak-pihak lain seperti beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan program kesihatan mental berbentuk sesi temu ramah
yang disiarkan setiap hari pada pukul 9.00 pagi dalam program bual bicara terbitan RTM iaitu Selamat Pagi Malaysia bermula sejak 1 Jun 2021.
Program berkenaan membariskan para penceramah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berkongsi tip-tip penting bagaimana untuk menguruskan kesihatan mental, menguruskan tekanan psikologi, keresahan, menghadapi kehilangan pekerjaan dan pengangguran, masalah komunikasi dan sosial yang dihadapi oleh kanak-kanak dan dewasa serta tekanan di tempat kerja, ketika berhadapan dengan situasi semasa yang cukup genting ini.
Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada orang ramai agar turut menyertai diskusi dalam siaran-siaran temu ramah ini. Bagi mereka yang memerlukan bantuan atau khidmat sokongan, segeralah hubungi talian sokongan psikososial COVID-19 KKM iaitu 011-63996482 / 011-63994236; Talian Kasih oleh KPWKM menerusi aplikasi WhatsApp di 019-2615999; Talian Befrienders di 03-76272929 ataupun
Talian Prihatin Psikologi dan Kaunseling oleh Malaysian Relief Agency (MRA) di 03-29359642 / 03-29359672. – UTV Media Msia