Program Konsultasi Lepasan SPM Terima Sambutan Hangat, YB Altimet Cadang Diperluaskan

LEMBAH JAYA – Program konsultasi pendidikan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan khusus bagi komuniti India di Lembah Jaya hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, program ini bertujuan membantu para pelajar menentukan hala tuju pendidikan mereka dengan lebih jelas.

Menurut beliau, inisiatif tersebut memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapatkan maklum balas, nasihat serta pandangan berkaitan pilihan kursus dan institusi pengajian yang bersesuaian dengan keputusan akademik dan minat masing-masing.

“Program ini diwujudkan untuk membantu pelajar tahu ke mana mereka boleh memohon dan apakah bidang yang paling sesuai berdasarkan keputusan dan minat mereka,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa modul utama telah disediakan dalam sesi konsultasi ini, termasuk penilaian minat dan keputusan akademik serta panduan mengisi permohonan kemasukan ke institusi pendidikan.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima, termasuk kehadiran peserta dari luar kawasan Lembah Jaya.

“Kita harap program seperti ini boleh dijalankan secara berkala setiap tahun dan diperluaskan kepada komuniti lain juga, supaya lebih ramai pelajar mendapat manfaat,” tambahnya.

Program tersebut dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membantu lepasan SPM membuat keputusan tepat demi masa depan pendidikan dan kerjaya mereka.

Penganjur program Mr. S. Sunder V telah menyediakan beberapa modul penting antaranya sesi penilaian minat dan kelayakan pelajar, panduan memilih bidang pengajian, serta bimbingan cara mengisi permohonan kemasukan ke institusi pendidikan. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pengisian maklumat yang tepat bagi mengelakkan sebarang masalah dalam proses permohonan. 

Beliau berkata program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan maklum balas, nasihat serta pandangan daripada pihak yang berpengalaman dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

Apa yang menarik, program ini bukan sahaja menarik kehadiran pelajar dari sekitar Lembah Jaya, malah turut disertai oleh peserta dari luar kawasan tersebut. Perkara ini menunjukkan bahawa inisiatif seperti ini sememangnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Mr. S. Sunder V turut menyatakan hasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan serta memperluaskan penyertaan kepada komuniti lain, bukan hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Diharapkan usaha sebegini dapat membantu lebih ramai lepasan SPM membuat keputusan yang tepat dalam merancang masa depan pendidikan dan kerjaya mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *