Program Nur Ramadan 2025 Suntik Semangat Keimanan di Bandar Tun Razak

  • March 15, 2025
  • 2 min read
Program Nur Ramadan 2025 Suntik Semangat Keimanan di Bandar Tun Razak

KUALA LUMPUR, 15 MAC 2025 – Suasana penuh kemeriahan dan ukhwah memenuhi perkarangan Masjid Almuqarrabin, Bandar Tasik Selatan pagi ini sempena Program Nur Ramadan 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP).

Program tahunan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak ini dirasmikan oleh Ahli Parlimennya sendiri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar umat Islam mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan untuk melipatgandakan amal ibadah serta menghayati bulan penuh barakah ini dengan bersungguh-sungguh. Beliau juga sempat bermesra dan menyerahkan sendiri sumbangan kepada 300 orang penerima.

“Ramadan merupakan bulan kesabaran dan pengajaran. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa ganjaran bagi kesabaran adalah syurga. Awalnya dipenuhi rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak warga Bandar Tun Razak agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk memperbaiki diri melalui ibadah puasa, solat tarawih, membaca Al-Quran dan qiamulail bagi meraih sebanyak mungkin pahala dan keberkatan.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Ramadan kali ini menjadi titik permulaan untuk kita menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya,” tambah beliau lagi.

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program yang membawa manfaat kepada komuniti setempat ini.

Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari ini turut dihadiri tetamu kehormat antaranya Datuk Azman bin Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan agensi.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang mengeratkan silaturahim serta meningkatkan penghayatan terhadap nilai-nilai Ramadan.

Program Nur Ramadan ini diharapkan dapat terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang dalam usaha membina komuniti yang bertakwa dan bersatu padu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *