VFive Group Hulur Infaq, Sumbangan Umrah & Duit Raya Sempena Ramadan 2025

Kuala Lumpur, 14 Mac 2025 – Dalam semangat menyambut Ramadan yang penuh keberkatan, Syarikat milikan penuh Bumiputera VFive Group telah mengadakan sebuah Majlis Iftar Perdana 2025 di Grand Barakah Hotel, Ampang pada hari Jumaat, 14 Mac 2025 bagi menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Acara ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga satu tanda syukur dan penghargaan atas rezeki yang dikurniakan serta komitmen syarikat dalam menyebarkan kebaikan.

INFAQ MAHABBAH ISTIMEWA RAMADAN YAYASAN VFIVE
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, VFive Group melalui Yayasan VFive telah melaksanakan Pemberian Infaq Mahabbah Istimewa Ramadan. Inisiatif ini bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, termasuk anak-anak yatim, keluarga asnaf, fakir miskin, serta institusi keagamaan agar mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih tenang dan selesa.

Antara sumbangan yang diberikan sepanjang ramadhan meliputi:
✅ Keperluan asas seperti makanan dan pakaian, edaran bubur lambuk
✅ Bantuan kewangan untuk menyokong kehidupan harian mereka
✅ Agihan 750 pek makanan iftar harian dan program singgah sahur
✅ Sumbangan khas Aidilfitri bagi meringankan beban menyambut Syawal seperti baju raya baju raya percuma kepada anak-anak yatim serta bantuan kebajikan kepada masjid, surau, pusat-pusat Tahfiz serta institusi pendidikan.
Bukan sahaja di Malaysia, inisiatif kebajikan ini turut diperluaskan ke luar negara menerusi program infaq iftar di Masjidil Haram, Madinah, dan Indonesia.

PENGHARGAAN MELALUI SUMBANGAN UMRAH
Dalam majlis ini, VFive Group turut menyampaikan Pemberian Sumbangan Umrah kepada individu terpilih sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti mereka dalam komuniti. Pemberian ini bukan sahaja satu peluang menunaikan ibadah di Tanah Suci, tetapi juga satu simbol penghormatan kepada mereka yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Menunaikan umrah adalah impian ramai umat Islam, dan kami berharap dengan inisiatif ini, lebih ramai dapat merealisasikan impian mereka. Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, dan kami ingin berkongsi rezeki ini dengan sebaik-baiknya,” kata Datuk Mohd Syafiq Hj Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group.

SUMBANGAN DUIT RAYA UNTUK WARGA VFIVE (V-STAFF & V-SPOUSE)
Sebagai tanda penghargaan kepada tenaga kerja syarikat, VFive Group turut mengadakan Pemberian Sumbangan Duit Raya kepada kakitangan syarikat dan pasangan mereka (V-Staff & V-Spouse). Langkah ini bukan sahaja sebagai apresiasi terhadap dedikasi mereka, tetapi juga sebagai dorongan untuk terus memberikan yang terbaik dalam mengembangkan syarikat.
KEBERSAMAAN DAN SYUKUR DALAM RAMADAN

Majlis ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan Infaq Mahabbah Ramadan dalam bentuk replika cek kepada masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, serta wakil komuniti penghantar makanan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan sepanjang Ramadan.
“Kami amat bersyukur atas segala rezeki yang dikurniakan dan percaya bahawa berkongsi rezeki adalah kunci keberkatan. Semoga setiap inisiatif ini membawa manfaat dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu serta organisasi untuk turut serta dalam menyebarkan kebaikan,” ujar Datuk Mohd Syafiq Hj Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan lebih ramai pihak akan bersama-sama mengimarahkan Ramadan dengan kesyukuran dan kebajikan. Bagi mereka yang ingin menyertai usaha kebajikan Yayasan VFive, maklumat lanjut boleh didapati di laman media sosial rasmi Yayasan VFive.
#SyukuriNikmat | Bersama Kita Sebarkan Kebaikan Ramadan