Wakaf MARA MADANI: Pemacu Ekonomi Bumiputera yang Berdaya Tahan

Kuala Lumpur, 15 Mac 2025 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah melancarkan Wakaf MARA MADANI, satu inisiatif penting bagi memperkukuh kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera.
Pelancaran ini mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, khususnya penyumbang individu dan korporat Bumiputera.
Pada hari pelancaran, sebanyak RM201,168.00 berjaya dikumpulkan daripada 1,114 penyumbang. Kutipan ini terus meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, mencapai RM51.6 juta hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang.
Sebagai dana mauquf, sumbangan wakaf tunai ini akan dikembangkan secara strategik bagi memastikan manfaatnya berterusan dan memberi impak tinggi. Agihan keuntungan dijangka bermula seawal Julai 2025, dengan manfaat wakaf disalurkan kepada sektor utama seperti pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan, serta pembangunan aset wakaf.
Antara inisiatif utama adalah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi sesi kemasukan Julai 2025.
Seruan untuk Menyertai Gelombang Kebaikan
YAB Ahmad Zahid Hamidi
Timb. Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan penyokong Wakaf MARA MADANI. Beliau menegaskan bahawa setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkasa ekonomi Bumiputera.
“Saya menyeru lebih ramai pihak—individu, sektor korporat, NGO, dan masyarakat—untuk menyertai gelombang kebaikan ini. Semakin ramai yang berwakaf, semakin luas manfaat yang dapat kita sebarkan kepada umat dan negara,” – TPM
Beliau turut menegaskan bahawa dengan pengurusan yang telus, strategi yang jelas, dan dukungan padu daripada semua pihak, Wakaf MARA MADANI berpotensi menjadi pemacu kejayaan ekonomi Bumiputera yang lestari, inklusif, dan penuh keberkatan.