Program Usahawan Kluster Baru daripada kalangan Bekas Banduan, Bekas Penagih, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Belia
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) dan Straits Millennium Sdn. Bhd & Group serta Ghullam Development Sdn.Bhd hari ini menganjurkan Program Usahawan Kluster Baru daripada kalangan Bekas Banduan, Bekas Penagih, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Belia bagi membantu golongan sasar tersebut ke advokasi industri sebagai misi anjakan paradigma ‘Marginal Group’ kepada ‘Aset Negara’, setelah menjalani latihan program I-Kembali selama 12 bulan.
Pengerusi PERGAK Dato Sri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata sebelum ini hala tuju I-Kembali adalah menempatkan peserta-peserta di dalam industri Perkilangan, Perkhidmatan, Pembinaan, Pertanian dan Perladangan tetapi kali ini fokus untuk melahirkan golongan sasar ini supaya menjadi usahawan industri dan usahawan tani.
“Untuk merealisasikan tujuan ini, pihak kami dengan kerjasama Straits Millennium Sdn Bhd akan melahirkan 100 usahawan Grocer Mart, pasaraya 100 peratus milik Bumiputera.
“Sasaran pada masa hadapan, pihak kami akan mensasarkan lebih ramai usahawan industri dalam pelbagai sektor seperti Kafe Food Truck, Perkhidmatan Auto Spa Kereta, Perkhidmatan Gunting Rambut dan Perkhidmatan Servis Penghawa Dingin,” katanya.
Program itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.
Turut hadir, Pengerusi Straits Millennium Sdn Bhd Dato Ahmad Fathiri Ahmad Fadzlah.
Siti Murni berharap kerajaan dan kementerian tidak memandang program advokasi industri yang melibatkan golongan sasar tersebut hanya sebelah mata.
Ini kerana, katanya, program advokasi industri ini telahpun membuktikan bahawa mereka boleh bangkit berubah dan boleh berhijrah agar mereka mendapat peluang kedua berada dalam kelompok masyarakat.
“Bukan mudah nak buat pembetulan kepada mereka. Dan bukan mudah untuk membawa mereka balik semula kepada masyarakat. Satu cabarannya bagaimana nak mendidik mindset mereka, bagaimana nak settlement kelangsungan hidup mereka, dan bagaimana untuk saya mengatasi mereka mengikuti program saya selama 12 bulan.
“Alhamdulillah, ramai yang telah berjaya dan saya pula telah merencanakan untuk mereka sebelum program ini bermula. Ini kerana saya memikirkan bagaimana nak menjadikan mereka usahawan baru di kalangan golongan sasar.
“Pada saya, mereka telah menjalani hukuman. Mereka telah ditindas lama. Jadi saya nak bawa mereka ke masyarakat dengan bertujuan mereka akan menjadi usahawan baru yang berjiwa besar dan boleh membantu pula yang lain.
“Saya juga berharap agensi-agensi di bawah kementerian Tan Sri, dapat membantu selagi mana yang boleh dalam melahirkan usahawan-usahawan berjaya dalam Program Usahawan Kluster Baru ini.”