PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin memberi gambaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan ketika negara berhadapan musim tengkujuh.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perkara penting yang diberi penekanan semasa mesyuarat itu berlangsung adalah lebih kepada persediaan untuk menghadapi banjir di negara ini selain membincangkan mengenai tarikh PRU15.
Beliau berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh PRU15.
“Biarlah Perdana Menteri yang umumkan kerana beliau berhak untuk menentukan tarikh (PRU15) yang sesuai.
“Kita memahami berkaitan bencana banjir dan Perdana Menteri juga mengambil kira atas nasihat daripada pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Di media sosial, cerita mengenai masalah banjir ini sudah jadi bermacam-macam (cerita), ada yang mengatakan pada Oktober, November dan Disember ini.
“Seeloknya, sumber yang tepat itu biarlah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab,” ujar beliau kepada sidang media semasa Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB).



