Republik Guinea minat pelajari model gerakan Koperasi Malaysia

  • September 23, 2022
  • 2 min read
Republik Guinea minat pelajari model gerakan Koperasi Malaysia

Kejayaan ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia telah berjaya menarik minat Republik Guinea untuk mempelajari model gerakan yang dipraktikkan ANGKASA sehingga mencipta nama di persada antarabangsa.

Hasrat tersebut disuarakan oleh Setiausaha Kanan Pembangunan, Kedutaan Republik Guinea Ke Malaysia iaitu Mr. Oumar Conde dalam satu pertemuan ringkas beliau bersama Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, bertempat di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya, pada 20 September 2022.

Kunjungan delegasi Mr. Oumar bersama rakan sekerjanya iaitu Pegawai Perhubungan Kedutaan berkenaan, Mr. Abubacar Bady Toure dan Pegawai Perhubungan Awam, Datin Noraini Mohd Nor turut disertai Reich Venture Sdn. Bhd. yang diketuai Datuk Mohd Razif Misran.

Menurut Mr. Oumar, Republik Guinea sangat mengagumi kejayaan dan konsep yang diketengahkan ANGKASA khususnya dalam membangunkan gerakan koperasi di Malaysia merangkumi pembangunanan gerakan koperasi sekolah dan koperasi masjid yang kini telah membuktikan kejayaan membanggakan di peringkat global.

Katanya, sebagai permulaan, model kejayaan sistem potongan gaji ANGKASA bakal diperkenalkan di koperasi milik Kementerian Perlombongan Republik Guinea seterusnya akan diperluaskan kepada kementerian lain di negara berkenaan.

Ini kerana katanya, banyak perkara boleh dipelajari daripada model dan konsep dilaksanakan ANGKASA yang memiliki pakej lengkap dalam pelbagai aspek merangkumi struktur organisasi kukuh, penghayatan prinsip koperasi dan pengamalan undang-undang koperasi serta tadbir urus bekesan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menzahirkan rasa bangga dengan pengiktirafan diberikan Republik Guinea terhadap minat mereka untuk mempelajari model yang dipraktikkan ANGKASA.

Katanya, ANGKASA bersedia memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada gerakan koperasi di Republik Guinea.

Ia selaras dengan Prinsip Koperasi yang menekankan kerjasama antara koperasi ke arah memperkukuhkan gerakan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA Global, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa; Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Datuk Ahmad Jamil Hashim; Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh; Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHEA) ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad dan Penolong Pengurus Unit Pengurusan Mesyuarat, Bahagian Sekretariat, En. Azman Ahamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *