PERKESO jalin kerjasama dengan Profima untuk lindungi kebajikan kru produksi filem yang bekerja sendiri
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya,
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan pelancaran Kempen Mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
PERKESO untuk memperluas liputan perlindungan keselamatan sosialnya kepada
7,000 kru produksi dan tenaga kerja di balik tabir industri perfileman negara, hari ini.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua organisasi bersepakat untuk bekerjasama dalam
memastikan ahli-ahli yang berdaftar di bawah PROFIMA seperti penerbit, pelakon,
jurukamera dan juruvideo yang bekerja sendiri mendapat perlindungan keselamatan
sosial dengan mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS PERKESO.
Selain bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan
perlindungan keselamatan sosial dan menggalakkan lebih ramai Orang Bekerja
Sendiri (OBS) mencarum dengan PERKESO, kerjasama ini juga menjadi platform
untuk memperluas inisiatif SPS Seni di bawah Program SPS Padanan Caruman kepada kru produksi dan pekerja di belakang tabir industri perfileman negara.
SPS Seni, yang diperkenal Kerajaan dalam Bajet 2022, disediakan khas buat para
penggiat seni yang bekerja sendiri termasuklah kru produksi filem dan tenaga kerja
belakang tabir. Menerusi inisiatif ini, Kerajaan menyediakan pembiayaan padanan
caruman kepada OBS yang layak, di mana mereka hanya perlu membayar 20 peratus
atau RM46.60 sahaja daripada keseluruhan jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu
sebanyak RM232.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun.
Bayaran caruman selebihnya iaitu 80 peratus atau sebanyak RM186.20 pula akan disumbangkan oleh Kerajaan.
Majlis pemeteraian MoU dan pelancaran Kempen Mencarum SKSPS PERKESO ini
telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Awang Hashim, Timbalan Menteri
Sumber Manusia. Turut hadir, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz
Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan YBrs. Encik Mohd Khalil Haji Saleh,
Presiden PROFIMA.
Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 5,078 penggiat seni telah berdaftar dan
mencarum dengan PERKESO menerusi inisiatif SPS Seni, berbanding 20,000 jumlah
sasaran atau kuota yang disediakan oleh Kerajaan. Sementara itu, seramai 376,333
OBS telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS atau kira-kira 15.8 peratus daripada keseluruhan 2.38 juta OBS di seluruh negara.
SKSPS yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri
2017 (Akta 789), menyediakan perlindungan Skim Bencana Pekerjaan Sendiri yang
menawarkan lapan (8) jenis faedah kepada pencarum yang mengalami kemalangan
atau kematian berkaitan aktiviti pekerjaan sendiri atau penyakit khidmat. Faedah yang
disediakan adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan juga Pinjaman Pendidikan. Akta 789 meliputi OBS dalam 20 sektor termasuk sektor kesenian.
PERKESO amat menggalakkan golongan bekerja sendiri di seluruh negara untuk
mendapatkan perlindungan daripada SKSPS demi kebajikan dan kemanfaatan
mereka dan keluarga sekiranya ditimpa kemalangan atau penyakit berkaitan aktiviti
pekerjaan sendiri.
Dengan perlindungan SKSPS, keluarga atau orang tanggungan kepada seseorang yang bekerja sendiri akan dibantu dalam meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan faedah PERKESO, setelah pencari nafkah meninggal dunia akibat kemalangan atau penyakit pekerjaan.
PERKESO berharap organisasi-organisasi lain mencontohi PROFIMA yang mengambil berat akan kebajikan ahli-ahli mereka, supaya lebih ramai golongan bekerja sendiri mendapat perlindungan keselamatan sosial demi kesejahteraan
Keluarga Malaysia.