Ratu Kuning Langkasuka – Istana budaya angkat dramatari lagenda cinta duka
KUALA LUMPUR: Sebagai peneraju seni persembahan pentas berskala cemerlang, Istana Budaya memainkan peranan penting dalam menyemarakkan scene industri dengan menghasilkan produk teater, tari dan muzik yang berkualiti.
Sepanjang tahun 2022, Istana Budaya telah merancang untuk mementaskan lima (5) persembahan bermula bulan Mac sehingga penghujung Oktober, selain menerima program sewaan ruang Panggung Sari oleh syarikat penganjur tempatan serta agensi Kerajaan yang lain sehingga penghujung tahun.
Istana Budaya telah berjaya menganjurkan “Konsert Lagu Rakyat”, konsert simfoni “The Carnival of the Animals” serta program ciptaan lagu dan gerak tari baharu “Sulur Nakasari” yang berlangsung pada pertengahan Julai yang lalu melibatkan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya.
Terkini, Istana Budaya sedang dalam persediaan terakhir untuk mementaskan sebuah naskhah dramatari yang jarang sekali dipentaskan di Panggung Sari iaitu “Ratu Kuning Langkasuka” bermula 23 hingga 25 September nanti.
Dramatari ini dipilih bertujuan untuk menampilkan kepakaran koreografer jabatan dan kebolehan kumpulan Artis Tari dalam menterjemahkan legenda kedukaan kisah cinta agung di pentas berprestij tanah air yang diiringi muzik secara langsung oleh OTM.
Berkisarkan sekitar kisah perkahwinan pasangan diraja Ratu Kuning dan Yang Dipertuan Muda Johor yang tergugat dek kehadiran penari istana bernama Dang Sirat, dramatari ini diarahkan oleh Sabera Shaik, seorang penggiat seni teater tanah air yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara.
Sabera, berkelulusan sarjana Seni Teater, Pennsylvania State University telah menerbitkan banyak program teater tempatan sejak tahun 1980 sebelum membuka Masakini Theatre Company pada tahun 2003.
Sejak 2010, karya solo beliau iaitu “Lady Swettenham” yang diarahkan Tage Larsen (Teater Laboratorium) telah menerima pujian kritik seluruh dunia dan diikuti karya beliau “Puteri Saadong” juga diarahkan oleh Tage Larsen pada 2015. Kedua-dua karya ini telah dipentaskan di Pulau Pinang, London, Denmark, Delhi, Pune, Jaipur, Mumbai, Brazil dan Afrika Selatan.
Selain melakukan pementasan di luar negara, beliau juga seringkali menghadiri bengkel bersama LaMama dan sentiasa berkolaborasi bersama kumpulan teater di Itali dan Amerika Syarikat.
Pelakon utama yang memegang watak Ratu Kuning iaitu Dayang Norinah, anak kelahiran Kota Belud, Sabah yang telah lama berkecimpung sebagai penari, tutor tari dan kini beliau mengusahakan syarikat Dayang Entertainment serta mempunyai studio tarian di Kuala Lumpur.
Watak Raja Muda Johor pula dipegang oleh Rudy Dr Luna Jr. iaitu koreografer Istana Budaya dan bergiat aktif dalam bidang seni tari dan teater sejak 1992. Beliau pernah merangkul gelaran juara untuk kategori koreografer dan tari dalam acara World Champions of Performing Art (WCOPA) pada tahun 2009 di Los Angeles, USA.
Dramatari Ratu Kuning Langkasuka akan dipentaskan selama tiga (3) hari iaitu pada 23 & 24 September 2022, 8:30 malam manakala pada 25 September 2022, 3:00 petang di Panggung Sari, Istana Budaya.
Tiket berharga RM35, RM55, RM85 dan RM125 boleh didapati di laman sesawang Istana Budaya www.istanabudaya.gov.my bermula 1 Ogos 2022 dan di Kaunter Box Office seperti berikut:
- 21 – 22 September 2022 – 11:30 pagi hingga 3:00 petang
- 23 September 2022 – 3:00 petang hingga 9:00 malam
- 24 – 25 September 2022 – 3:00 petang hingga 9:00 malam.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Panggung di talian 03 4026 5555/ 5546 / 5553.