Pingat emas pertama WiPers beri kelegaan buat kontinjen
KETUA Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers), Datuk Seri Rosida Jaafar melahirkan rasa gembira dan syukur apabila pingat emas pertama berjaya dirangkul menerusi acara olahraga 5,000m lumba jalan kaki wanita, di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Rosida berkata, pingat emas harini amat bermakna tambahan pula ia daripada atlet baharu dan bukan atlet prospek WiPers.
“Seperti yang selalu saya pesan kepada atlet, setiap daripada mereka perlu berjuang habis-habisan kerana semua orang berpotensi untuk menyumbangkan pingat,” katanya kepada Wilayahku sejurus penyampaian pingat kepada pemenang.
Rosida turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh atlet WiPers terutama atlet baharu sepanjang empat hari temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 berlangsung.
“Mereka menunjukkan disiplin yang bagus serta menampilkan aksi yang terbaik dan diharapkan semangat seperti ini dapat diteruskan hingga ke penghujung.
“Berjuang habis-habisan walaupun dapat pingat gangsa, kita tetap gembira dan berterima kasih. Bagi mereka yang belum berjaya menyumbang pingat, terus berjuang kerana kita ada banyak lagi acara yang akan dipertandingkan,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan kejuaraan bakal menjadi milik Wilayah Persekutuan dan tiada lubuk emas bagi mana-mana acara kerana semua berpotensi.