‘Squid Game’ memenangi pelakon drama bersiri terbaik, pengarah di Emmys

  • September 13, 2022
  • 2 min read
‘Squid Game’ memenangi pelakon drama bersiri terbaik, pengarah di Emmys

SEOUL, 13 Sept (Bernama) — Drama survival fenomena Korea Selatan “Squid Game” telah menjadi siri TV bukan Inggeris pertama yang memenangi pelakon dan pengarah terbaik dalam siri drama di Anugerah Primetime Emmy yang berprestij, lapor agensi berita Yonhap.

Hwang Dong Hyuk, yang menerbit, menulis dan mengarah drama survival sensasi global, membawa pulang hadiah ‘Arahan dan Penulisan Cemerlang Untuk Siri Drama’ untuk episod pertama siri Netflix, “Red Light, Green Light”, pada Majlis Anugerah Edisi ke-74 itu di Teater Microsoft, Los Angeles pada hari Isnin (waktu AS).

Beliau bersaing dengan Mark Mylod, Cathy Yan dan Lorene Scafaria daripada “Succession”, Ben Stiller daripada “Severance”, Jason Bateman daripada “Ozark” dan Karyn Kusama daripada “Yellowjackets.”

Ini adalah kali pertama siri TV bukan Inggeris memperoleh Emmy, satu penghormatan yang menjadi aspirasi setiap barisan pengarah dalam industri TV Amerika Syarikat.

Hwang mengucapkan terima kasih kepada platform penstriman global Netflix kerana membuka pintu kepada seluruh rancangannya dan memberinya peluang keemasan bagi mengakses khalayak global di luar Korea.

“Saya percaya saya perlu mengatakan bahawa kita semua telah mencipta sejarah bersama-sama,” katanya dalam ucapan penerimaannya.

“Saya benar-benar berharap ‘Squid Game’ bukan siri bukan Inggeris terakhir yang berada di sini di Emmys, dan saya juga berharap ini juga bukan Emmy terakhir saya.”

Beliau berkata rancangan ini akan kembali untuk musim kedua.

Pelakon utama Lee Jung Jae dinamakan ‘Pelakon Utama Cemerlang Dalam Siri Drama’, menewaskan Jason Bateman daripada “Ozark”, Brian Cox dan Jeremy Strong daripada “Succession”, Bob Odenkirk daripada “Better Call Saul” dan Adam Scott daripada “Severance.”

Lee menjadi selebriti bukan Inggeris pertama dan pelakon Korea Selatan yang memenangi Emmy, salah satu daripada empat anugerah utama Amerika untuk seni persembahan dan hiburan.

Dalam siri “Squid Game,” Lee memainkan peranan sebagai Gi-hun, seorang lelaki pertengahan umur bernasib malang yang tertarik dengan pertandingan misteri permainan kanak-kanak tradisional Korea yang menjanjikan ganjaran kepada satu-satunya pemain yang terselamat dengan habuan hadiah wang tunai sebanyak 45.6 bilion won (AS$33). juta).

Secara keseluruhan, “Squid Game” telah mengumpul enam gelaran Emmy: dua anugerah utama pada majlis hari Isnin dan empat di ‘Creative Arts Emmys’ yang diadakan minggu lepas.

Filem asal terbitan Netflix ini memperoleh 14 pencalonan di Emmys pada tahun ini.

Ia adalah siri asal hit terbesar Netflix yang pernah ada, dengan sejumlah 1.65 bilion jam tontonan pada empat minggu pertama. Musim kedua kini dalam pembikinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *