Kerajaan muktamadkan keputusan dasar pelaksanaan gantian hukuman mati mandatori – Wan Junaidi
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman alternatif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat selepas dua siri mesyuarat oleh Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikannya pada hari ini dan 6 Sept lalu.
“Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).
“Selain itu, 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan,” ujar beliau.
Satu memorandum Jemaah Menteri akan dikemukakan pada mesyuarat kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan, sebelum pembentangan Rang Undang-undang (RUU) bagi pindaan akta-akta berkaitan akan dilaksanakan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat.
Bacaan pertama Rang Undang-undang itu dijangka pada 4 Okt dan yang kedua pada 22 Nov.