STESEN MINYAK YANG MENCATATKAN JUALAN TERLALU TINGGI DAN LUAR BIASA AKAN DIPANTAU
KUCHING, 21SEPTEMBER 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasa operasi pemantauan untuk menangani isu ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi melalui OPS TIRIS 3.0. Ini merupakan sebahagian daripada strategi yang digariskan di bawah fokus mempertingkatkan ketangkasan penguatkuasaan yang merupakan salah satu agenda teras KPDN bagi tahun 2024.
Antara tumpuan khusus adalah pemantauan berhubung ketirisan subsidi bahan api diesel dan petrol RON95 melalui aktiviti penyelewengan dan penyeludupan. Sungguhpun subsidi diesel telah disasarkan di Semenanjung Malaysia melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), namun pemantauan perlu terus diperkasa untuk mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaan sistem tersebut, selain risiko aktiviti penyelewengan dan penyeludupan beralih kepada subsidi petrol RON95. Sementara itu, mengambil kira subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, strategi khusus sedang diguna pakai untuk mempertingkatkan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan.
Pendekatan tambahan yang dilaksanakan adalah untuk memantau dan membuat naziran ke atas stesen-stesen minyak yang didapati mempunyai jumlah jualan bahan api yang amat tinggi. KPDN telah mengenal pasti 38 buah stesen minyak di seluruh negara yang mencatatkan rekod tertinggi penjualan minyak diesel dan RON95 secara luar biasa. Daripada jumlah tersebut, 7 adalah stesen minyak di Sabah dan 7 buah stesen di Sarawak. Sebahagian besar lokasi stesen minyak yang terlibat ini terletak di daerah-daerah sempadan negara. Selain menuntut komitmen para pengusaha stesen minyak dalam gerakan menangani isu ketirisan, KPDN juga mendapatkan kerjasama syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 dengan membuat penelitian dan mengemukakan pelaporan trend jualan sesebuah stesen minyak pada kadar yang amat tinggi dan luar biasa. Pada masa yang sama,
KPDN juga mengalualukan kerjasama dan penglibatan daripada orang ramai untuk membuat aduan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan penguatkuasaan.Melalui OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 19 September 2024, sebanyak 31,762 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,121 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM81.4 juta. Seramai 531 individu telah ditangkap dalam tempoh yang sama.Bagi negeri Sarawak, daripada 2,157 pemeriksaan yang telah dilakukan, sebanyak 151 kes dihasilkan dengan tangkapan 15 orang individu melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20.99 juta.
Manakala bagi negeri Sabah, sebanyak 1,899 pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah itu, 287kes telah dihasilkan melibatkan jumlah nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM7.05 juta dan penangkapan 21 orang individu.Sementara itu, sebanyak 538pemeriksaan telah dilakukan di WP Labuan yang menghasilkan 17 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1.28 juta.Siasatan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613]. KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dan sebagainya bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan ketirisan dapat dibendung dengan lebih berkesan.