Suara Penduduk Jadi Teras Tadbir Urus Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR — Kerajaan MADANI terus memperkukuh tadbir urus bandar dengan menjadikan suara penduduk sebagai asas utama pembuatan keputusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili lebih 80 persatuan penduduk dari seluruh ibu negara.

Menurutnya, pertemuan itu memberi ruang kepada wakil komuniti menyuarakan pandangan dan maklum balas berkaitan usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk, khususnya melibatkan isu mitigasi banjir.

“Antara fokus utama perbincangan ialah perlindungan dan pemeliharaan kolam takungan yang berperanan penting dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur,” katanya.

Hannah turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh langkah pencegahan banjir melalui amalan tadbir urus yang baik, selain mengalu-alukan sumbangan pandangan daripada profesional dan pakar dalam kalangan komuniti bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan lebih berkesan.
Beliau menekankan prinsip pentadbirannya adalah mentadbir bersama rakyat, dengan setiap maklum balas penduduk akan diteliti secara menyeluruh sebelum dijadikan panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar.

Pendekatan itu, katanya, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Kuala Lumpur yang berteraskan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *