Syarikat tempatan tampil bantu 12 pelajar P4lestin di IPTA dan IPTS
Kuala Lumpur – Atas dasar kemanusiaan, Persatuan Alumni Keluarga SSEAYP Malaysia (SFAM ) dengan kerjasama Yayasan Kasih Tauhid dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyahut seruan untuk mencari penaja bagi pelajar-pelajar Palestin yang telah terputus wang pengajian dan terputus hubungan dengan keluarga di Gaza.
Untuk permulaan, seramai 12 orang pelajar yang kritikal sumber kewangan dipilih berdasarkan maklumat yang didapatkan daripada Kesatuan Pelajar Palestin di Malaysia diwakili oleh Dr Taufik Yusuf Zaid serta Kedutaan Palestin.
Lima buah syarikat tempatan tampil menjadi penaja bagi 12 orang pelajar Palestin yang kritikal sumber kewangan untuk meneruskan pengajian di institusi awam dan swasta di negara ini. Antara syarikat tersebut adalah Syarikat Galeri Tropika Sdn Bhd, GEO Hotel and Resort, Mercu Food Sdn Bhd, Empire Marketing Sdn Bhd dan T.M.J Development Sdn Bhd. Oleh itu, satu majlis penyampaian bantuan kepada pelajar Palestin telah diadakan sebagai bantuan kepada mereka untuk melangsungkan hidup.
Sejumlah RM72,000 berjaya dikumpulkan untuk mereka sebagai bantuan kecemasan pada ketika ini untuk meneruskan pengajian.
Penasıhat SFAM yang juga Pegawai Daerah Bentong Dato’ Shahid bin Ismail berkata, Misi Bantuan untuk Pelajar Palestin di Malaysia tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada penaja- penaja yang membantu dan beliau berterima kasih dan amat menghargai bantuan yang diberikan dan kesudian pihak penaja dan wakil untuk bersama- sama ke Majlis penyampaian pada hari ini.
Menurut Nor Azreen Jamaluddin, Pengerusi Alumni Keluarga SSEAYP Malaysia, SFAM, pelajar-pelajar tersebut akan dibantu selama enam bulan dan setiap pelajar akan menerima sebanyak RM1000 seorang setiap bulan untuk tempoh 6 bulan.
Misi ini berjaya dilaksanakan dalam tempoh satu minggu, SFAM menyasarkan bantuan untuk seramai 12 orang pelajar yang berada di dalam situasi kritikal. Ianya kecemasan yang perlu dibantu segera, jadi sementara nak dapat support sistem daripada pihak-pihak lain, kami berharap dapatlah membantu pelajar-pelajar ini sementara pihak-pihak lain membantu dan bantuan-bantuan lain datang kepada mereka. Jadi, inilah yang mampu kami lakukan untuk meringankan bebanan yang mereka hadapi,” katanya.
Di Malaysia, terdapat seramai lebih 800 pelajar Palestin mengikuti pengajian di negara ini sama ada di institusi pengajian awam dan juga swasta.
Nancy, wakil dari Syarikat Geo Hotel & Resort berkata, pelajar-pelajar ini perlu dibantu oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Jelas beliau, mereka memerlukan bantuan tetapi masih kurangnya kesedaran tentang kewujudan mereka di negara ini. Mereka kehilangan keluarga dan penajaan pendidikan. Sebagai rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya kita dapat membantu meringankan beban mereka di sini.
Bagi Nurhadira Zainodin dari Empire Marketing Sdn Bhd, beliau terpanggil untuk menunjukkan sokongan padu kepada rakyat Palestin dengan menyalurkan bantuan seumpama ini.
“Saya sebenarnya berfikiran begini. Sebab saya nak hantar sesuatu yang berkaitan dengan tenaga, saya tak mampu. Jadi saya melihat apa yang didepan mata, jadi apabila ada satu program begini, saya terpanggil untuk mengikut serta sebab bagi saya kalau saya support mereka dalam bentuk education, mereka mungkin akan menjadi seseorang yang sangat hebat, dan saya percaya satu negara yang didukung dan di conduct oleh seorang yang hebat akan membentuk negara itu dengan baik. Inshaallah, satu hari nanti mana tahu negara mereka akan kembali pulih dan merekalah pelapis-pelapisnya,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Suad Ghaben, Doctor di Universiti Al-Azhar Gaza yang kini mengikuti pengajian di peringkat PhD, jurusan fisioterapi di Universiti Kebangsaan Malaysia berharap agar gencatan senjata disegerakan.
Katanya, banyak hospital musnah seperti di Hospital al-Shifa dan Hospital al-Awda dan keadaan sangat kritikal. Oleh itu, ianya sangat penting buat rakyat Gaza untuk dibantu.
“Bukan sahaja kita mempunyai bilangan kehilangan jiwa yang besar atau orang yang hilang atau cedera, mereka juga telah memusnahkan semua infrastruktur untuk hidup. Jadi kita berfikir, dengan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku hari ini, bagaimana kita mahu meneruskan kehidupan, bagaimana kita mahu merawat ramai orang yang tercedera, dan bagaiman kita akan menyediakan pendidikan untuk orang ramai.
“Jadi, ini bukan hanya genocide, mereka membunuh segala-galanya. Mereka membunuh kemungkinan untuk hidup di Gaza. Jadi, hentikanlah pembunuhan beramai-ramai ini, supaya kita boleh berfikir bagaimana untuk kita memulakan kembali kehidupan, bagaimana kita boleh memberikan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan semula untuk rakyat Palestin kerana mereka berhak mendapat yang terbaik,” ujar beliau.
Harapan juga dizahirkan kepada pemimpin dunia dan arab supaya menghentikan peperangan ini.
“Pada 2008, pernah berlaku peperangan. Dan begitu juga pada tahun 2012 dan 2014. Jika saya bercakap mengenai peperangan ini, ianya mudah, bukan seperti peperangan hari ini. Peperangan hari ini berbeza, ia seperti mereka mahu membunuh semua orang, bukan sahaja yang berjuang memerangi mereka kerana mereka berkata, orang yang memerangi mereka adalah mereka yang hidup di sana, jadi mereka mengebom rakyat Palestin di sana.
“Dan juga di Tebing Barat, saya perlu menyatakan tentang Tebing Barat juga. 48 keping tanah, terdapat juga pertumpahan darah di sana sejak 75 tahun yang lalu. Saya cuma berharap kepada kerajaan dan pemimpin-pemimpin Arab dan pemimpin Islam, mereka perlu menghentikan peperangan itu. Mereka perlu memberikan tanah Palestin kembali kepada rakyatnya. Sampai bila kita akan kekal begitu, sampai bila?” kata Akram Azdia Mohamed, Pelajar Perniagaan Antarabangsa di Universiti Lim Kok Wing mengakhiri bicara.