Tebus e-Baucar pusat penginapan pelancongan
KUALA LUMPUR, 13 Julai 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022
(PRE2.0) bagi Kluster Penginapan dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik
seiring peralihan ke fasa endemik.
Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej
Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan
Industri Pelancongan yang melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.
Di bawah Kluster Penginapan, dianggarkan seramai 33,830 rakyat Malaysia berpeluang
menebus tawaran e-baucar bernilai antara RM50 sehingga RM100 menerusi pembelian
bilik penginapan hotel secara atas talian melibatkan hotel-hotel seluruh Malaysia
bermula 15 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2022. Penebusan adalah terhad untuk
tiga kali penebusan sahaja bagi setiap pemilik MyKad.
Antara pusat penginapan yang terlibat adalah hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel
Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan
Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (HSM).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata,
pelancaran inisiatif ini bertujuan menarik minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia
untuk terus membuat tempahan bilik penginapan hotel pada harga diskaun yang
istimewa dan seterusnya melaksanakan aktiviti pelancongan domestik.
“Kerjasama strategik yang dijalinkan oleh Tourism Malaysia bersama persatuan-
persatuan ini disasarkan untuk merangsang kembali pemulihan industri pelancongan
sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan,”
katanya.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) akan menawarkan e-baucar bernilai RM100 dengan nilai pembelian minimum RM150 untuk
19,900 pembeli terawal manakala Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA)
menawarkan e-baucar bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM60 untuk
7,960 pembeli. Kesemua e-baucar boleh diperolehi di aplikasi Shopee.
Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) pula menawarkan rebat bernilai RM50 dengan
nilai pembelian minimum RM170 (bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk
5,970 pembeli terawal. Tempahan di Rangkaian Hotel Seri Malaysia boleh dibuat secara
jumpa terus (walk-in), e-mel atau telefon.
MOTAC melalui agensi promosi Tourism Malaysia telah melancarkan program PRE2.0
pada 17 Mei 2022 yang memberikan tawaran diskaun dan rebat di bawah sektor
persatuan agensi pelancongan, pengangkutan darat, taman tema, selam skuba, inap
desa dan pengangkutan udara.
Secara keseluruhannya, Program Pelan Pemulihan Pelancongan (PRE2.0) ini akan
memberikan manfaat kepada semua Warga Keluarga Malaysia untuk menikmati inisiatif
yang telah ditawarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.