TINJAUAN: Haramkan juga Arak, Judi, Kelab Malam
KUALA LUMPUR, 2 Jun 2022 – Majoriti rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan juga harus
mengenakan larangan ke atas tabiat-tabiat lain seperti larangan meminum arak dan minuman
manis, perjudian, kelab malam, karaoke dan pub kepada generasi akan datang dan bukan
hanya melarang rokok dan vape seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy
Jamaluddin, baru-baru ini.
Pendapat tersebut diperolehi melalui satu tinjauan pendapat yang dijalankan Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian yang telah berjaya mengumpul 1,000
responden.
Tinjauan pendapat dalam talian tersebut dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai
mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan
vape untuk generasi yang akan datang.
Hasil tinjauan mendapati:
(89%) mahukan Kerajaan mengharamkan arak
(69%) mahukan Kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis
(86%) mahukan Kerajaan mengharamkan perjudian
(79%) mahukan Kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan merokok dan
penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.
Walaupun keputusan tinjauan ini menunjukkan ramai yang inginkan Kerajaan membuat
larangan ke atas tabiat-tabiat negatif yang lain, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi
berkata, PPIM tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan untuk membuat larangan penuh
pada penggunaan dan penjualan sesuatu barangan kepada generasi akan datang walaupun
cadangan tersebut adalah bertujuan positif.
Nadzim juga berpendapat tindakan larangan tersebut akan membawa kepada masalah lain
antaranya peningkatan pasaran gelap dan juga aktiviti-aktiviti jenayah yang lain. Selain
daripada kesukaran dari segi penguatkuasaan, ini secara tidak langsung bakal memberi
bebanan kepada agensi penguatkuasaan serta menjadikan pengguna dewasa menjadi
penjenayah.
“Kita juga maklum produk-produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif
kepada pengguna. Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa, minuman manis
memberikan kesan kepada kesihatan, perjudian boleh menyebabkan rakyat terjerumus
dengan hutang.”
“Dan sekiranya Kerajaan bertekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape
atas sebab kemudaratan kesihatan, ramai juga telah bersuara untuk menyaran Kerajaan
mengenakan larangan yang sama untuk Kerajaan membasmi semua tabiat-tabiat yang negatif
kepada generasi akan datang,” kata Nadzim dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Tinjauan ini telah dijalankan selama seminggu di laman portal www.ppimonlinepoll.com dan
berjaya mengumpul 1,000 responden.
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60136116666 (Adi). Terima
Kasih. [TAMAT]