Tol percuma selama sebulan sempena pembukaan fasa pertama Lebuh raya SUKE

KUALA LUMPUR: Mulai 12 tengah hari (16 Sept), pengguna Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bakal menikmati pemberian tol secara percuma sempena pembukaan fasa pertama lebuh raya tersebut bagi jajaran sejauh 16.6 kilometer (km) selama sebulan.
Menurut kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembinaan lebuh raya fasa PERTAMA itu meliputi persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke persimpangan Bukit Antarabangsa.
“Saya juga ingin mengumumkan bahawa tol diberikan secara percuma selama sebulan, bermula jam 12 tengahari, 16 September.
“Pengguna yang bakal menggunakan laluan lebuh raya alternatif ini diharap mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memandu secara berhemah.
“Syarikat konsesi diingatkan agar mengambil langkah proaktif bagi memastikan tahap perkhidmatan dan operasi yang terbaik diberikan kepada pengguna sambil mematuhi perjanjian konsesi,” ujar beliau semasa majlis pelancaran fasa pertama pembukaan lebuhraya SUKE di Plaza Tol Bukit Teratai, di sini, hari ini.
“Kesiapsiagaan dan pembukaan SUKE akan membawa impak signifikan terhadap usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menambah baik arus trafik, khususnya untuk bahagian timur Kuala Lumpur,” jelasnya lagi.