Geng San Sentosa tumpas jua

  • September 16, 2022
  • 1 min read
Geng San Sentosa tumpas jua

SHAH ALAM – Geng San Sentosa yang aktif melakukan jenayah sekitar Klang berjaya ditumpaskan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi beberapa siri tangkapan sejak April lalu di sekitar Selangor.

Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, tangkapan dibuat melibatkan enam individu terdiri daripada ahli dan ketua kumpulan kongsi gelap pada 14 September lalu.

“Dua lelaki warga tempatan ditahan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Pelabuhan Klang, pemeriksaan dijalankan menemui sepucuk pistol yang disorok di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

“Tangkapan ke atas dua suspek berkenaan kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Mewah Ria, Klang dan sebutir peluru hidup ditemui,” katanya.

Jelas beliau, operasi yang dilaksanakan sebelum ini membabitkan kawasan di sekitar Petaling Jaya, Klang dan Butterworth.

“Dalam serbuan pertama pada 17 April lalu, dua lelaki warga tempatan ditangkap di Petaling Jaya dengan rampasan sepucuk pistol.

“Pada 15 Jun pula, seorang lelaki warga tempatan ditangkap di Taman Sentosa, Klang bersama sepucuk pistol jenis Revolver manakala pada 13 September lalu, seorang lelaki warga tempatan ditangkap di Butterworth, Pulau Pinang bersama sepucuk pistol berserta empat butir peluru hidup,” ujarnya.

Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *