Tourism Malaysia Wilayah Timur angkat gastronomi & warisan Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

KOTA BHARU, 6 SEPTEMBER – Tourism Malaysia Wilayah Timur akan memberi tumpuan kepada promosi pelancongan berasaskan gastronomi dan warisan budaya di Kelantan sebagai usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) dan menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa ke Pantai Timur.

Pegawai Pelancongan Kanan Tourism Malaysia Wilayah Timur, En Ahmad Zulfa Shafie berkata, pihaknya sedang merangka pelbagai program promosi, termasuk memperkenalkan “Food Trail Kelantan” yang dijadualkan berlangsung pada bulan November ini.

“Food Trail ini akan membawa pelancong menjelajah dari Gua Musang hingga ke Kota Bharu, dengan mengetengahkan makanan tradisional dan menu-menu tempatan yang kini semakin viral. Kami mahu pelancong merasai keunikan sajian Kelantan, selain menyokong pengusaha makanan tradisi tempatan,” katanya ketika ditemui sempena Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025.

Menurutnya, selain makanan, warisan budaya Kelantan turut menjadi daya tarikan utama, khususnya seni persembahan tradisi seperti wayang kulit dan pelbagai aktiviti kebudayaan lain yang sinonim dengan negeri itu.

“Kelantan cukup kaya dengan seni dan budaya. Kalau pelancong datang ke sini, mereka memang mencari makanan dan kebudayaan. Sementara tarikan semula jadi seperti pulau dan pantai banyak tertumpu di Terengganu dan Pahang, Kelantan pula kami angkat sebagai destinasi pelancongan gastronomi dan warisan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya merancang membawa pengusaha makanan dan produk dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur dalam sebuah festival khas bulan depan, bagi memperluas promosi ke peringkat nasional dan membuka peluang pasaran baharu.

“Buat masa ini, kebanyakan pelancong asing ke Kelantan adalah kerana transit untuk ke pulau-pulau peranginan seperti Perhentian. Setiap hari terdapat lebih 34 penerbangan ke Kota Bharu, dan kami mahu mengambil peluang ini dengan menggalakkan pelancong melanjutkan tempoh lawatan mereka di Kota Bharu untuk menikmati produk warisan, khususnya makanan tradisional,” jelasnya.

Tambahnya, pelancong dari Eropah seperti Perancis dan Itali kini dilihat semakin ramai berkunjung ke pulau-pulau di Terengganu, sekali gus membuka ruang kepada Tourism Malaysia untuk menarik mereka singgah ke Kelantan.

“Harapan saya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026), kedatangan pelancong ke Kelantan dan Pantai Timur akan terus meningkat. Kami akan terus berganding bahu dengan pelbagai pihak bagi menganjurkan aktiviti yang dapat memperkukuhkan lagi tarikan pelancongan negeri ini.

Pada masa sama, saya juga menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan mempromosikan keunikan budaya, warisan dan gastronomi tempatan kepada dunia,” katanya. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *