Lebih 150 Juadah Tradisi Dipersembahkan di Festival Citarasa Warisan Kelantan – KSU MOTAC

  • September 7, 2025
  • 2 min read
Lebih 150 Juadah Tradisi Dipersembahkan di Festival Citarasa Warisan Kelantan – KSU MOTAC

KOTA BHARU, 6 SEPTEMBER 2025 – Lebih 150 juadah tradisi Kelantan dipersembahkan dalam Festival Citarasa Warisan @ Pantai Timur 2025, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot. Festival ini bertujuan mempromosi makanan warisan negeri serta menyokong ekonomi komuniti tempatan.

Festival yang dianjurkan oleh MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan berlangsung selama 3 hari bermula 5 September – 7 September 2025 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV . Majlis perasmian festival diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, yang menambah seri majlis dan menunjukkan sokongan terhadap usaha memartabatkan seni, budaya dan warisan makanan Kelantan.

Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra merasmikan Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Menariknya setiap reruai dan ruang pameran yang disediakan akan menampilkan makanan warisan dari 10 daerah, termasuk juadah yang hampir pupus seperti Itik Solor, Kerabu Beko, Nasi 100, Ros Lidah dan Apam Bakar. Turut dipamerkan adalah makanan yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan, termasuk Nasi Kerabu, Kuih Jala Emas, Budu, Akok dan Solok Lada.

Pengunjung festival dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti fun walk “Hungga Semutar”, pesta Nasi Berlauk, serta menikmati persembahan budaya termasuk Mak Yong, Menora, Wayang Kulit, Silat, Tarian Singa. Demonstrasi masakan tradisi dan kraf turut diadakan, manakala komuniti dari pelbagai daerah bergotong-royong memasak juadah tradisi seperti Gulai Daging Kawah, Kerabu Beko, Gulai Daun Kilek dan Ikan Bekok, menjadikan festival ini pengalaman menyeronokkan dan bermakna untuk semua.

Menurut Datuk Shaharuddin, festival ini bukan sahaja memartabatkan warisan makanan dan budaya, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk meningkatkan ekonomi dan berkongsi kepelbagaian tradisi Kelantan dengan pengunjung. Beliau berharap usaha ini dapat menyokong aspirasi menjadikan Kota Bharu sebagai “Creative City of Gastronomy” UNESCO menjelang 2027, sekaligus menjadikan Kelantan destinasi utama pelancong untuk menikmati keunikan juadah tradisi dan warisan budaya negeri ini. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *