Tragedi Rempuhan Pemandu mabuk: Balu dan tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz layak terima pencen Penakat


SHAH ALAM: Kebajikan balu dan tiga anak penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu, terus terbela apabila mereka layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, hasil semakan pihaknya mendapati Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar, 33 yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn. Bhd selama 15 tahun adalah pencarum aktif bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

”Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan.

”Caruman yang dibuat Allahyarham sebelum ini kini menjadi “talian hayat” buat balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak mereka iaitu Muhammad Aqif Amsyar, Muhammad Afif Izz Rayqal, dan Nur Humaira, yang masing-masing berumur antara dua hingga sembilan tahun,” ujar beliau.

Dr. Mohammed Azman menjelaskan, melalui manfaat Pencen Penakat, balu Allahyarham layak menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama dengan jumlah faedah yang bakal diterima setiap bulan berjumlah RM2,888.17.

”Selain itu, PERKESO turut menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 kepada waris.

“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris.

“Caruman yang konsisten adalah asas kepada perlindungan ini, dan dalam kes ini, ia menjadi penyelamat kepada masa depan keluarga Allahyarham,” katanya ketika ditemui dalam program Ziarah Prihatin di kediaman waris di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, Shah Alam hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa PERKESO komited memastikan penyaluran faedah dilaksanakan dengan cekap dan lancar demi kebajikan waris.

1

Dalam masa sama, Dr. Mohammed Azman juga berpesan supaya masyarakat sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya dan menjauhi pemanduan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan tragedi seumpama ini terus berulang.

Beliau turut menyeru majikan yang masih belum mendaftar agar segera mendaftarkan perusahaan dan mencarum pekerja mereka di bawah LINDUNG Pekerja atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kerana perlindungan yang disediakan hari ini merupakan jaminan bagi masa depan memandangkan malang tidak berbau.

Selain itu, aspek perlindungan sosial diperkukuh di sektor informal melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang telah mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta baharu ini secara rasminya memberi perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO kepada lebih 1.64 juta pekerja sektor gig di Malaysia, sekali gus menjamin pampasan serta kebajikan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan semasa bekerja.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *