Waris mendiang pemain bola sepak PJ City FC terima faedah PERKESO
BATU CAVES, SELANGOR – Balu dan tiga orang anak kepada pemain pertahanan kanan Kelab Bola Sepak PJ City (PJ City FC), Rajes A/L Perumal yang maut selepas terlibat dalam
kemalangan motosikal, telah dibantu dengan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO).
Rajes terlibat dalam nahas jalan raya pada malam Ahad lalu sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Jalan Sri Batu Caves menghala ke Batu Muda setelah tamat sesi latihan bola sepak.
Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang 10.30pm, Rajes dipercayai hilang kawalan
motosikalnya sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok hingga menyebabkan beliau maut di tempat kejadian.
Sejurus mendapat tahu tentang kemalangan tersebut, Skuad PERKESO Prihatin mengambil
langkah proaktif dengan membantu memproses bantuan faedah dengan segera, setelah hasil semakan mendapati waris mendiang layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan.Faedah Pengurusan Mayat (FPM).
Kedua-dua faedah ini disediakan PERKESO di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Faedah telah disampaikan kepada waris oleh Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga
PERKESO dalam kunjungan ke rumah mendiang pada hari ini. Mengiringi Dato’ Sri Subahan adalah Encik John Riba Marin, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Encik Izad Haji Raya, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Encik Mohamad Asri Ngosman, Pengarah PERKESO Kuala Lumpur, dan Encik Ismail Abi Hashim, Ketua Bahagian Sinergi PERKESO.
Turut sama dalam kunjungan tersebut adalah Encik Ganesh Shanmugam, Ketua Pegawai Eksekutif PJ City FC berserta Encik Raja Khugan, Ketua Bahagian PJ City FC.
Mendiang Rajes, 37 tahun, berkhidmat dengan PJ City FC sejak 2018 hinggalah beliau meninggal dunia di mana caruman semasa beliau dibayar oleh PJ City FC.
Beliau telah membuat sebanyak 20 penampilan liga pada musim pertamanya dengan kelab tersebut.
Perlawanan terakhirnya bersama PJ City FC adalah pada 15 Oktober yang lalu ketika menentang Kuala Lumpur City.
Mendiang meninggalkan balu, Komathy A/P Samudramu, 36, bersama tiga orang cahaya mata iaitu Thivyaalini yang berusia 9 tahun, Pirutheswar, 7 dan Kaveenilavan, 1 tahun 9 bulan.
Pemergian mendiang meninggalkan kesan yang mendalam kepada ahli keluarganya apatah lagi beliau merupakan pencari nafkah utama keluarga yang juga menyara ibu, Puan Indrani A/P Govindasamy, 61 tahun serta nenek, Meenachi A/P Palaniandy, 92, yang tinggal bersama.
Caruman mendiang telah melayakkan balu dan anak-anaknya menerima FOT yang berjumlah
keseluruhan RM3,555 sebulan. Mereka juga turut menerima FPM sebanyak RM2,000 sekali
bayar.
FOT memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.
Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja yang dilindungi PERKESO meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan.