Waspada dengan panggilan telefon individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC

  • May 12, 2022
  • 1 min read
Waspada dengan panggilan telefon individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC


CYBERJAYA, 12 Mei 2022 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan
panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai
MCMC dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.
Peringatan tersebut dibuat susulan seorang pengadu telah dihubungi oleh
individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian
telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata
telefon di Negeri Sembilan. Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat
aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian
boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan
oleh pihak penyedia perkhidmatan.
Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim
Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan
pihak Suruhanjaya. Pada masa yang sama, sebarang pengumuman atau
pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan Suruhanjaya
lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun
menerusi platform media sosial Suruhanjaya dan bukannya menggunakan
nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon
bimbit persendirian.
Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya
dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali. Pada masa yang sama,
segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja
Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.
www.mcmc.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *