Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Lancar Aplikasi Madani
SHAH ALAM, 03 OKTOBER 2024 – Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan Program Townhall Ikon Naisonal bersama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.
Program ini telah di sempurna kan oleh YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan diserikan dengan kehadiran Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN sempena Minggu Destini Siswa (MDS) sesi Oktober 2024 yang melibatkan seramai 4,000 lebih pelajar baharu.
Program ini bertujuan sebagai platform dialog terbuka antara kepimpinan tertinggi negara dan golongan belia universiti, khususnya mahasiswa UiTM. Acara ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin negara dan menyuarakan pandangan, aspirasi, serta kebimbangan yang di hadapi oleh mereka sebagai generasi muda yang bakal mencorak masa depan negara.
Sesi ini juga memberikan perspektif baru kepada pelajar berkenaan tanggungjawab yang dipegang oleh Dewan Rakyat dalam membentuk dasar-dasar negara yang inklusif dan relevan kepada keperluan generasi akan datang.
Diadakan bersempena Minggu Destini Siswa, acara tahunan UiTM bagi menyambut pelajar baharu, program ini menjadi landasan yang signifikan untuk membina hubungan yang lebih erat antara pihak universiti, parlimen Malaysia dan Yayasan Prihatin Nasional.
Antara inisiatif penting yang dilaksanakan dalam program ini adalah penyerahan sumbangan “Kit Madani” kepada pelajar asnaf baru UiTM Shah Alam. Bantuan ini mencerminkan komitmen dan usaha berterusan PRIHATIN dalam menyantuni golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan, agar mereka dapat memulakan kehidupan kampus dengan lebih selesa dan bermotivasi tinggi.
Selain itu, acara ini turut menyaksikan peluncuran Aplikasi Siswa Madani, sebuah inisiatif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang dibangunkan sebagai pusat sehenti (one-stop centre), bagi memudahkan mahasiswa dari kalangan keluarga B40 di Universitik Awam untuk mengakses dan memohon bantuan dengan lebih pantas dan cepat.
Aplikasi ini bukan sahaja memastikan keberkesanan penyampaian bantuan, malah berperanan sebagai platform yang sistematik dalam membantu mahasiswa menyelesaikan masalah kebajikan mereka.
Aplikasi ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi digital dalam mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali: “Peluncuran Aplikasi Siswa Madani mencerminkan komitmen teguh Yayasan Prihatin Nasional dalam memastikan kebajikan mahasiswa, terutama mereka dari golongan kurang berkemampuan, diutamakan.
Dengan kemudahan teknologi ini, kami berharap agar proses penyampaian bantuan menjadi lebih sistematik, cepat dan telus.
Kami tidak mahu ada mahasiswa yang tercicir daripada menerima sokongan yang sewajarnya, kerana pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah.”
Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan pembangunan modal insan, PRIHATIN terus komited dalam menggerakkan usaha untuk memperkasakan golongan muda di negara ini.
Melalui pelbagai program dan inisiatif yang disasarkan, PRIHATIN berusaha untuk mewujudkan suasana yang lebih inklusif dan progresif bagi generasi. muda, terutama dalam bidang pendidikan, keusahawanan, dan kepimpinan.
Program Townhall Ikon dan peluncuran Aplikasi Siswa Madani ini merupakan sebahagian daripada langkah besar yang diambil PRIHATIN dalam menyokong mahasiswa di seluruh negara.
Selain itu, program Townhall Ikon Nasional ini dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 100,000 orang pelajar, terutamanya golongan asnaf dan B40 dari universiti-universiti di seluruh Malaysia.
Dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan, seperti agihan luggage dan Kit Madani kepada pelajar-pelajar yang memerlukan, program ini bukan sahaja menyediakan sokongan material tetapi juga motivasi moral untuk memastikan mahasiswa terus berusaha walaupun. berdepan cabaran kewangan.
PRIHATIN percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan negara. Oleh itu, melalui jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan tinggi seperti UiTM, PRIHATIN berhasrat untuk terus menyantuni golongan pelajar yang memerlukan agar mereka dapat mencapai potensi penuh dalam bidang akademik dan kehidupan seharian mereka.