3,000 terima bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) peringkat Paya Jaras
PAYA JARAS: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan menganjurkan program Serahan Bantuan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan juga Penyerahan Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Persatuan peringkat Paya Jaras pada 19 Julai 2023, pukul 2.30 petang dan bertempat di Tapak Parkir Pasaraya Econsave, Paya Jaras, Sungai Buloh.
Matlamat program adalah untuk membantu dan meringankan beban para penerima, di samping sebagai satu penghargaan kepada golongan warga emas atas komitmen dan jasa bakti mereka dalam turut bersama-sama
memacu pembangunan sosio-ekonomi.
Program ini adalah salah satu Inisiatif
Peduli Rakyat (IPR) yang menzahirkan keperihatinan Kerajaan Negeri dengan
sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat pelbagai peringkat, termasuk golongan warga emas dan juga Orang Kurang Upaya (OKU).
Sehubungan dengan itu, hampir seramai 3,000 penerima telah menerima Bantuan Skim ini
yang berupa baucar Jom Shopping RM 150 setiap seorang.
Penyerahan sumbangan kepada Masjid, Surau dan Persatuan-Persatuan Komuniti juga turut disampaikan dalam program ini. Sumbangan ini yang keseluruhannya berjumlah RM 109,380 bertujuan membantu kariah dan penduduk-penduduk setempat menggerakkan aktiviti dan program kemasyarakatan, sekaligus, merancakkan lagi pembangunan sosial khusus di kawasan Paya Jaras.
Semoga penganjuran berterusan program bantuan SMUE mahupun sumbangan ini diharapkan dapat terus membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan warga emas dan OKU yang sememangnya memerlukan perhatian agar mereka tidak dilupakan, sekaligus merealisasikan kesejahteraan komuniti di Negeri Selangor dengan lebih komprehensif.