33,800 terima vaksin Covid-19 fasa kedua melalui MyMedik@Wilayah

  • June 20, 2021
  • 2 min read
33,800 terima vaksin Covid-19 fasa kedua melalui MyMedik@Wilayah

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, malah dijangkakan lebih awal berbanding negeri lain, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Seramai 33,800 menerima vaksin mulai hari ini hingga 26 Jun yang melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk peniaga, pekerja di pasar harian serta penjaja, kawasan industri, penempatan gelandangan, Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung-kampung tradisi.


Fasa kedua ini melibatkan 22 lokasi antaranya, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, 8 kawasan industri, 7 PPR MTEN/PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang. Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 13 trak vaksin bergerak merangkumi 52 doktor, 104 jururawat (petugas perubatan) dan lebih 150 petugas pentadbiran (bukan perubatan) akan dapat mencapai sasaran 80% warga WP Kuala Lumpur divaksinasikan menjelang Ogos 2021.


Inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang telah bermula sejak 7-13 Jun 2021 yang lalu. Dalam tempoh tersebut, 24,500 dos vaksin telah diberikan kepada kumpulan sasar di WP Kuala Lumpur.

Melihat kepada kejayaan ini, pihak CITF telah memberikan kebenaran kepada KWP untuk meneruskan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini. Inisiatif ini dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga WP Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera. – UTV Media Msia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *