KPWKM beri bakul makanan kepada penduduk PPR Rejang semasa PKP
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius berhubung aduan di media sosial oleh penduduk di Desa Rejang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkaitan keperluan makanan dan keperluan asas yang akan terjejas susulan daripada kedai runcit di kawasan berkenaan yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPD berkenaan.
KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bakul makanan dan keperluan asas kepada penduduk di kawasan PKPD Perumahan Awam Desa Rejang.
Sejak pengumuman PKPD di kawasan berkenaan bermula pada 18 Jun 2021, JKM telah berjaya mengurus dan menghantar bakul makanan asas kepada seluruh penduduk yang terlibat di kawasan PKPD Perumahan Awam Desa Rejang.
Sehingga semalam iaitu 20 Jun 2021 sebanyak 3000 buah bakul makanan fasa pertama telah berjaya diedar kepada 2971 buah keluarga.
Pada hari ini sebanyak 1500 buah keluarga lagi telah disantuni oleh JKM melibatkan pesanan dan permintaan barangan khusus kegunaan harian seperti peralatan mandian, ubat-ubatan dan keperluan bayi.
JKM juga sedang menyusun gerak kerja untuk penghantaran bakul makanan fasa kedua pada
hari esok 22 Jun 2021 yang melibatkan tambahan 3000 lagi bakul makan keperluan asas dan barangan keperluan harian penghuni Desa Rejang sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga orang perseorangan.
Penyaluran bantuan yang berterusan mengikut keperluan penduduk akan dilaksanakan oleh para petugas JKM demi kesejahteraan penduduk Desa Rejang sepanjang tempoh PKPD ini.
Selain penyaluran bakul makanan, Jabatan juga mengambil pendekatan pro aktif dengan memberikan perkhidmatan sokongan sosial melalui perkhidmatan tele kaunseling, pengoperasian bilik gerakan, Talian Kasih 15999 24 jam serta berkomunikasi melalui wakil penduduk yang dilantik.
Kementerian juga difahamkan pihak yang bertanggungjawab dengan pembukaan kedai runcit sedang berusaha merangka gerak kerja yang terbaik untuk membolehkan penduduk mendapatkan akses untuk membeli keperluan harian.
Kementerian sentiasa terbuka berhubung pandangan dan cadangan dalam aspek pengurusan bantuan khususnya bantuan makanan asas semasa PKPD demi memastikan penduduk yang terkesan mendapat bantuan yang sewajarnya.
Para penduduk terjejas juga diingatkan untuk terus menjaga keselamatan dan kesihatan diri dengan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – UTV Media Msia