PETALING JAYA, 14 April 2026 – Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan solidariti penuh terhadap pendirian tegas dan berprinsip Paus Leo XIV dalam menyeru keamanan serta menolak konflik bersenjata.
Dalam satu kenyataan hari ini, KEADILAN memuji keberanian Paus Leo XIV yang lantang menentang retorik peperangan yang didakwa didorong oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama sekutu Zionis terhadap Republik Islam Iran.
Menurut kenyataan itu, dunia kini berada di ambang konflik yang lebih besar, justeru suara Paus dilihat sebagai seruan penting kepada rasional, kesederhanaan dan nilai kemanusiaan sejagat. Paus Leo XIV juga diiktiraf kerana menegaskan bahawa keamanan tidak boleh digantikan dengan peperangan atas apa jua alasan.
“Pendirian beliau bukan sekadar suara seorang pemimpin agama, tetapi lambang keberanian moral dalam berdepan tekanan kuasa besar,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, KEADILAN turut mengecam kenyataan balas Presiden Trump yang disifatkan sebagai tidak beradab dan mencerminkan keangkuhan diplomatik. Serangan terhadap pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap kebebasan beragama dan prinsip moral sejagat.
KEADILAN juga menegaskan bahawa tindakan ketenteraan unilateral oleh pentadbiran Amerika Syarikat merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pendekatan agresif serta retorik melampau hanya akan memburukkan lagi ketegangan global dan mencetuskan ketidakstabilan,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, KEADILAN menyeru komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha Vatican dalam mengurangkan ketegangan serta kembali kepada pendekatan diplomasi pelbagai hala.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr. Maszlee Malik.



