KESUMA Anjur Karnival Kerjaya Premium, 10,000 peluang pekerjaan ditawar di KLCC

KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempergiat usaha memperkukuh ketahanan pasaran buruh negara menerusi penganjuran Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan berpendapatan kompetitif.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan Ramakrishnan berkata, langkah itu diambil susulan laporan peningkatan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak boleh dipandang ringan, walaupun tiada bukti langsung mengaitkannya dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
“Laporan menunjukkan lebih 5,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan pada bulan lalu. Justeru, kestabilan sosioekonomi perlu diperkukuh melalui penawaran pekerjaan premium serta peningkatan mobiliti tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut merekodkan peningkatan ketara permohonan faedah kehilangan pekerjaan, khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Sebanyak 14,194 permohonan direkodkan pada suku pertama 2026, meningkat 18.3 peratus berbanding 11,994 permohonan pada suku keempat 2025,” jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah intervensi awal bagi mengekang kesan ekonomi yang berpotensi menjejaskan rakyat sekiranya konflik global berlarutan.
Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyasarkan lebih 10,000 pencari kerja, dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM15,000.
Lebih 100 majikan terkemuka daripada pelbagai sektor akan mengambil bahagian, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Amanah Raya, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Agrobank, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pos Logistics serta Pengurusan Aset Air Berhad.
Selain itu, syarikat swasta seperti VADS Business Process Sdn. Bhd., MIMOS Berhad, TH Properties, KLCC Property Holdings, SD Guthrie, KPJ Healthcare, Boustead Properties, Alam Flora, Edaran Otomobil Nasional (EON) dan DRB-HICOM turut terlibat.
Lima institusi perbankan utama negara – Maybank, CIMB, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam Malaysia Berhad – juga menyertai inisiatif ini.
Penganjuran karnival di KLCC ini merupakan pembuka tirai kepada siri program nasional lebih luas, termasuk Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 serta Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Mei ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata sektor pengangkutan dan logistik antara yang paling terkesan, berpunca daripada pengecilan tenaga kerja dan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
“Konflik Asia Barat memberi kesan kepada rantaian bekalan, khususnya diesel, yang secara tidak langsung meningkatkan kos operasi industri,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa majikan mungkin mengambil langkah pengurangan kos termasuk pemberhentian pekerja, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan melalui reformasi pasaran buruh yang lebih dinamik.
Dalam masa sama, tumpuan turut diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan kewangan bagi menyokong transformasi struktur pekerjaan negara.
KESUMA melalui PERKESO juga komited mempromosikan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) serta memperluas akses pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan penyertaan tenaga kerja yang lebih inklusif.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui portal rasmi MYFutureJobs di https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/⁠�.
– TAMAT –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *