AKAR desak Pasukan Petugas Pengurusan Krisis dirombak

KUALA LUMPUR, 22 April 2026 – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa kerajaan mempertimbangkan rombakan segera terhadap struktur Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) susulan dakwaan badan itu gagal berfungsi secara efektif dalam menangani cabaran krisis tenaga dan tekanan ekonomi global yang semakin kompleks.

Menurut AKAR, situasi semasa yang melibatkan ketidaktentuan bekalan tenaga dunia, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan memerlukan satu mekanisme tindak balas yang lebih pantas, tersusun dan berani, bukan sekadar pendekatan pentadbiran yang bersifat rutin.

PPPK yang berada di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) didakwa tidak menunjukkan tahap kecekapan yang diharapkan, khususnya dalam merangka dan melaksanakan intervensi dasar yang mampu memberi kesan segera kepada rakyat serta sektor perniagaan.

“PPPK kini dilihat bergerak terlalu berhati-hati dan tidak menunjukkan keberanian untuk memacu tindakan fiskal yang benar-benar memberi kesan langsung kepada rakyat dan pemain industri. Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan struktur sedia ada,” kata AKAR dalam kenyataan itu.

AKAR turut menegaskan bahawa dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, setiap kelewatan dalam membuat keputusan dasar boleh memberi kesan berantai kepada ekonomi domestik, termasuk peningkatan kos sara hidup dan tekanan terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Menurutnya lagi, pendekatan yang terlalu terikat dengan prosedur dan birokrasi sedia ada dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa yang memerlukan tindakan segera serta keberanian politik dan pentadbiran yang tinggi.

“Keadaan ini jika berterusan akan menghakis keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kemampuan kerajaan mengurus krisis secara bersepadu dan tegas, apatah lagi ketika dunia sedang berdepan tekanan ekonomi yang tidak menentu,” menurut kenyataan itu lagi.

AKAR berpandangan, kepimpinan negara sebelum ini telah menunjukkan pendekatan yang lebih proaktif melalui pelbagai libat urus dengan industri dan kerajaan negeri, namun ia perlu disokong oleh struktur pelaksana yang lebih tangkas di peringkat teknikal.

Dalam masa sama, pertubuhan itu menolak pendekatan pasif atau berkecuali dalam situasi krisis, sebaliknya menegaskan keperluan agar semua agensi berkaitan bergerak sebagai satu pasukan yang fokus kepada penyelesaian segera dan praktikal.

Sehubungan itu, AKAR menggesa satu penilaian menyeluruh dilakukan terhadap peranan, struktur dan keberkesanan PPPK, termasuk mempertimbangkan rombakan besar sekiranya didapati gagal memenuhi mandat asal dalam mendepani cabaran krisis tenaga dan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *