JWP DAN PL SALUR BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA RIBUT DIKAMPUNG TANJUNG ARU, LABUAN

Kejadian ribut kuat menyerupai puting beliung yang melanda Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan pada malam 12 Mei 2026 telah menyebabkan banyak keluarga berdepan detik mencemaskan apabila rumah mereka mengalami kerosakan secara tiba-tiba akibat angin kencang dan hujan lebat.


Ada kediaman yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, siling serta harta
benda rumah sekali gus menjejaskan keselesaan dan keselamatan keluarga yang terlibat.


Susulan kejadian tersebut, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) segera
menyelaraskan bantuan kewangan sehingga RM3,000 kepada setiap keluarga yang terjejas bagi membantu meringankan beban serta mempercepatkan kerja-kerja
pembaikan awal kediaman mereka.


Bantuan disampaikan oleh YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua
Pengarah, Jabatan Wilayah Persekutuan kepada 22 ketua isi rumah yang terkesan
daripada keseluruhan 43 unit kediaman yang terjejas akibat kejadian ribut berkenaan.


Daripada jumlah tersebut 22 buah rumah mengalami kerosakan teruk manakala 10
buah rumah kerosakan sederhana dan 11 lagi buah rumah mengalami kerosakan
kecil.


Dalam saat sukar seperti ini, rakyat perlu tahu bahawa mereka tidak berdepan situasi ini bersendirian. Bantuan segera amat penting khususnya ketika mangsa masih sedang menguruskan kerosakan rumah, membersihkan kawasan kediaman dan memastikan keselamatan keluarga masing-masing.


Dalam masa yang sama, Perbadanan Labuan (PL) turut menyalurkan bantuan
kewangan tambahan antara RM1,000 hingga RM3,000 mengikut tahap kerosakan yang dialami oleh mangsa.
JWP dan PL akan terus memantau keadaan semasa penduduk terjejas serta
bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar. Penghargaan turut dirakamkan kepada semua agensi penyelamat, pasukan keselamatan, sukarelawan dan penduduk setempat yang tampil membantu mangsa sepanjang tempoh pasca kejadian.


Bencana mungkin berlaku tanpa amaran namun usaha membantu dan memastikan
kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, keselamatan keluarga perlu sentiasa menjadi keutamaan dan orang ramai disaran mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *