JENGKA, 8 Julai β Festival FGV yang berlangsung selama dua hari sempena Hari Peneroka FELDA 2026 berjaya menjadi platform memperkukuh hubungan antara FGV Holdings Berhad (FGV), warga peneroka dan masyarakat menerusi pelbagai pengisian interaktif yang menampilkan inovasi, produk serta peluang ekonomi dalam sektor agribisnes.
Berlangsung di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka pada 6 dan 7 Julai, festival itu menghimpunkan pelbagai segmen perniagaan FGV sekali gus memperlihatkan bagaimana hasil titik peluh peneroka FELDA diterjemahkan kepada produk dan penyelesaian bernilai tinggi yang digunakan oleh rakyat setiap hari.
Lebih lapan reruai pameran serta lebih 25 aktiviti dan demonstrasi berjaya menarik ribuan pengunjung yang berpeluang mengenali dengan lebih dekat operasi FGV merangkumi sektor perladangan, minyak dan lelemak, gula, logistik, sokongan serta produk pengguna.
Antara tarikan paling mendapat sambutan ialah Warung FGV yang menghidangkan lebih 10,000 sajian secara percuma menggunakan produk keluaran FGV seperti SAJI, SERI PELANGI dan GULA PRAI. Pengunjung menikmati hidangan bersaiz penuh termasuk roti canai, nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, burger dan ayam goreng yang disediakan oleh usahawan tempatan.
Pendekatan berbeza itu bukan sahaja membolehkan orang ramai merasai sendiri kualiti produk keluaran FGV, malah memberi limpahan manfaat kepada pengusaha tempatan melalui penyertaan mereka sepanjang festival berlangsung.
Festival turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan, pertandingan Tebar Roti Canai, sesi kuiz dan trivia, permainan interaktif Active Arcade serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang berjaya mewujudkan suasana meriah dan mengeratkan hubungan antara jenama FGV dengan masyarakat.
Dalam usaha memperluaskan penyertaan komuniti FELDA dalam ekosistem perniagaan syarikat, FGV turut membuka reruai Vendor Relationship Management (VRM) bagi memberi peluang kepada peneroka, usahawan FELDA dan pengusaha tempatan mendapatkan maklumat serta mendaftar sebagai vendor berpotensi.
Selain itu, Kempen Beli & Menang bersama jualan produk pengguna pada harga promosi istimewa turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap jenama-jenama keluaran FGV.
Penganjuran Festival FGV membuktikan komitmen berterusan syarikat sebagai rakan strategik FELDA dalam memperkukuh rantaian nilai agribisnes negara, di samping menyokong pembangunan komuniti peneroka melalui inovasi, peluang keusahawanan dan penghasilan produk bernilai tambah.
FGV turut merakamkan penghargaan kepada FELDA, agensi kerajaan, rakan strategik, warga peneroka, pengunjung dan seluruh tenaga kerja yang bersama-sama menjayakan Festival FGV, sekali gus memastikan sinergi antara FGV dan FELDA terus diperkasakan demi kemajuan sektor agribisnes negara serta kesejahteraan generasi peneroka masa hadapan. – UTV



