AMK Cadang Dasar Kerja Dari Rumah Kurangkan Beban Kos Rakyat

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan dasar kerja dari rumah (Work From Home – WFH) secara bersasar bagi sektor tertentu susulan kenaikan harga minyak dunia yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata langkah tersebut boleh membantu mengurangkan pergerakan harian rakyat sekali gus menjimatkan penggunaan petrol serta mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api, khususnya RON95.


Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu boleh dimulakan di pejabat kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebelum diperluaskan kepada sektor swasta yang bersesuaian.


Katanya, pendekatan itu juga berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, menjimatkan kos pengangkutan rakyat serta mengurangkan penggunaan bahan api ketika keadaan ekonomi global tidak menentu.


Dalam masa sama, dasar tersebut dapat membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemah selain mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
AMK turut mencadangkan pelaksanaan WFH secara fleksibel, seperti beberapa hari bekerja dari rumah dalam seminggu, tertakluk kepada kesesuaian fungsi jabatan, agensi dan organisasi.


Langkah itu juga dilihat selari dengan usaha meningkatkan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan, selain menyokong agenda kelestarian melalui pengurangan penggunaan kenderaan serta pelepasan karbon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *