“Antara Dua Titah”: Townhall Rakyat Bongkar Isu Sistem dan Integriti Negara

  • June 25, 2025
  • 2 min read
“Antara Dua Titah”: Townhall Rakyat Bongkar Isu Sistem dan Integriti Negara

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 – Sesi keenam siri Townhall Rakyat: Mencari Kebenaran yang berlangsung semalam menyaksikan pertembungan wacana hangat bertemakan “Antara Dua Titah”, menampilkan barisan panelis berwibawa yang terdiri daripada tokoh perundangan, penguatkuasaan dan korporat.

Antara panelis utama termasuk Peguam Kanan terkenal, Tan Sri Shafee Abdullah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM merangkap Presiden AMLAC Academy, Tan Sri Datuk Dzulkifli Ahmad, serta Datuk Mohd Omar Mustapha, ahli korporat dan penulis. Moderator sesi pula dikendalikan oleh Tuan Haji Kamarudin Ahmad, peguam kanan dan aktivis sosial.

Sesi selama dua jam setengah itu tidak hanya memfokuskan pada polemik politik atau konflik tokoh elit semata-mata, sebaliknya membawa perbincangan lebih luas menyentuh isu institusi kehakiman, integriti agensi penguatkuasaan dan hak rakyat terhadap kebenaran.

Menurut moderator, Tuan Haji Kamarudin, objektif utama townhall ini adalah untuk memecah tembok persepsi bahawa suara rakyat hanya digerakkan oleh propaganda atau naratif sebelah pihak.

“Townhall ini bukan sesi gosip elit atau perdebatan kosong. Ia medan rakyat mendengar terus daripada tokoh-tokoh yang pernah berada di dalam sistem,” katanya.

Panel turut membincangkan cabaran dalam memastikan prinsip Rule of Law kekal terpelihara, terutamanya dalam konteks kes-kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian nasional dan antarabangsa.

Penganjur menyatakan bahawa townhall ini akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain sebagai sebahagian daripada kempen “Mencari Kebenaran” untuk mendekatkan wacana serius kepada masyarakat umum.

Acara yang berlangsung di Gateway Mall, Pantai Dalam ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform NMH Media Network, membolehkan capaian lebih luas kepada rakyat di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *