Banjir Johor: PBT naiktaraf pam, dalamkan sungai -Onn Hafiz
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz telah mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi melihat semula dan mencari penyelesaian terbaik di semua kawasan tumpuan sebagai langkah persediaan menghadapi musim banjir di Johor.
Kenyataan tersebut dibuat menerusi hantaran di media sosial beliau selepas melawat beberapa lokasi banjir di sini, hari ini. Jelasnya, antara kerja yang sedang dan akan dilaksana MBJB di Johor Bahru termasuklah menaiktaraf pam air dari 4 unit kepada 6 unit di Rumah Pam Sg Chat.
Beliau berkata, tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan 2 unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu, iaitu di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village & Jalan Kg Mohd Amin.
Selain itu, pembersihan sampah sarap di trash screen & mendapan di dasar Sungai Chat akan dilaksanakan dan penambahan pembinaan wier di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.
Manakala kerja-kerja yang akan dilaksana MBIP di Iskandar Puteri termasuklah melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pembinaan tembok penahan banjir di Kampung Muafakat oleh JPS.