Tukar sistem OTP kepada sistem pengesahan lebih selamat – BNM

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia menggesa institusi kewangan untuk beralih kepada sistem pengesahan transaksi dalam talian yang lebih selamat berbanding sistem SMS “one time password” OTP sebagai sebahagian usaha bagi menangani jenayah siber ekoran peningkatan penipuan kewangan yang berleluasa di Malaysia dan seluruh dunia.
“Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan BNM memandang serius, lebih-lebih lagi kes ini membabitkan penipuan kewangan,” ujar Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus kepada sidang media di majlis pelancaran pameran jenayah kewangan.
Beliau berkata, beberapa bank utama seperti Maybank dan CIMB sudah pun mula bertukar daripada sistem OTP kepada sistem yang lebih selamat untuk aktiviti dalam talian dan transaksi melibatkan pembukaan akaun, pemindahan dana, pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun.
“Kedua, institusi kewangan akan terus memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan segera menyekat transaksi yang disyaki ada unsur penipuan. Pelanggan akan segera dimaklumkan sekiranya ada aktiviti seperti itu melibatkan akaun mereka.
“Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan akan menyekat transaksi seperti itu dan pelanggan akan diminta mengesahkan ketulenan transaksi berkenaan terlebih dahulu sebelum disekat,” katanya lagi.
Menurut Shamsiah, langkah lain yang boleh diambil termasuk tempoh bertenang atau “cooling-off period” bagi pendaftaran baru perkhidmatan perbankan atau pertukaran peranti baharu, di mana tiada aktiviti perbankan dalam talian dibenarkan.
Jelasnya, pelanggan juga dihadkan penggunaan kepada hanya satu telefon atau peranti bagi tujuan pengesahan transaksi dalam talian.
Selain itu, satu talian “hotline” juga perlu diwujudkan oleh institusi kewangan untuk pelanggan melaporkan sebarang penipuan kewangan.
“Institusi kewangan diarahkan untuk lebih responsif terhadap laporan penipuan yang dibuat pelanggan.
“Mereka juga diarahkan untuk membantu usaha mendapatkan kembali dan melindungi dana yang dicuri termasuk bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengelak lebih banyak kerugian,” katanya.