Sindiket Curi Motosikal ‘Geng Ameer’ tumpas

  • September 28, 2022
  • 2 min read
Sindiket Curi Motosikal ‘Geng Ameer’ tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki pada 20 dan 21 September lalu yang disyaki aktif melakukan jenayah motosikal di sekitar Lembah Klang sejak 2017. Turut ditahan dua individu lain disyaki pembeli motosikal curi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 35 tahun ditahan setelah menerima laporan mengenai kejadian curi motosikal sekitar Sentul.

“Susulan serbuan, kami berjaya menahan Ameer, berusia 26 tahun yang mengetuai sindiket curi motosikal ini dan merampas enam motosikal.

“Polis berjaya merampas enam motosikal dan empat rangka motosikal pelbagai jenis, jenama Yamaha, Honda serta Suzuki yang dilaporkan hilang di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kesemua rampasan motosikal itu diangarkan bernilai RM 60,000,” ujar beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa komponen motosikal, sebuah mesin pemotong besi dan berapa peralatan yang disyaki untuk mencuri motosikal.

Mengulas lanjut, kesemua motosikal yang dicuri dipercayai akan dijual dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model motosikal berkenaan.

“Kesemua suspek termasuk dua individu disyaki membeli motosikal curi itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau dan telah direman sejak 21 September lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, 10 kes kecurian yang dilaporkan telah berjaya diselesaikan pihak polis susulan penahanan ini iaitu enam kes di kawasan Sentul dan empat kes di kawasan Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *