Bersama cegah berita palsu – Dato’ Saifuddin Abdullah

  • July 11, 2021
  • 2 min read
Bersama cegah berita palsu – Dato’ Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA, 11 JULAI 2021 – Kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara dalam penyebaran maklumat atau berita palsu, sama ada tentang pandemik COVID-19, vaksinasi, kesihatan, isu sosial mahupun isu politik. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan orang ramai, malah menjejaskan usaha kita membanteras penularan COVID-19 dengan berkesan.


Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta beberapa agensi yang terlibat bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik COVID-19, antaranya pemantauan oleh Pasukan Respon Pantas sejak Mac 2020 telah menangkis sebanyak 464 berita palsu.


Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac 2021 bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang COVID-19 dan kesihatan.


Dalam konteks penyebaran maklumat, pihak media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi juga melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha kita dalam memerangi COVID-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara. Pihak media juga memberikan kerjasama kepada Kerajaan dalam memerangi berita palsu sejak bermulanya krisis ini.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia menyeru semua pihak media dalam pelbagai medium, meliputi stesen televisyen dan radio, akhbar dan platform dalam talian untuk terus mempergiatkan usaha, bukan sahaja mengenal pasti dan membongkarkan berita palsu, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang ancaman berita palsu dan langkah-langkah untuk mencegahnya.

“Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian
berita palsu. Marilah bersama-sama mencegah berita palsu,”katanya. – UTV Media Msia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *