Kongsilah maklumat program vaksinasi yang sahih – KKMM
PUTRAJAYA, 13 JULAI 2021 – Vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa kita keluar daripada pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
Sehingga kini pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 telah mencapai prestasi yang memberangsangkan di mana sejumlah 11 juta suntikan telah berjaya diberi, dan kita sedang menuju ke arah sasaran 80% imuniti kelompok pada akhir tahun ini.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan United Kingdom.
Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima cadangan serta maklum balas dan sentiasa bersedia untuk memperbaiki kelemahan agar kita dapat bersama-sama melakukan yang terbaik dalam menangani krisis kesihatan ini.
Pada masa yang sama, harus diingat bahawa terdapat sesetengah penganalisis luar negara yang memberi gambaran yang tidak tepat dalam membuat analisa dan perbandingan terhadap Malaysia kerana tidak menggunakan fakta yang terkini.
Misalnya, terdapat maklumat daripada sebuah vaccine tracker pada bulan April lalu yang mengunjurkan Malaysia mengambil tempoh masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75% populasi. Namun, jika tracker yang sama dibuka pada hari ini, tempoh 4.9 tahun itu telah berubah menjadi lima bulan.
Unjuran lima bulan ini adalah berdasarkan 262 ribu dos sehari manakala jika berdasarkan 375 ribu dos sehari, jangkaan 75% vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Ketika tracker tersebut menerbitkan unjurannya pada bulan April, Kerajaan telahpun mengeluarkan peta perancangan vaksinasi, namun maklumat itu tidak digunakan dalam analisa tersebut.
Ini menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu adalah tidak baik. Analisis data secara selektif seperti ini tidak memberi gambaran realiti yang sebenarnya dan boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat.
Walaupun kini pihak terbabit telah memperbetulkan maklumat tersebut, tetapi penyebaran maklumat yang tidak tepat telahpun berlaku. – UTV Media Msia